KEMAMAN – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon imuniti daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther disifatkan sebagai sesuatu yang pelik dan belum pernah berlaku dalam sejarah kepimpinan negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tidak pernah ada rekod atau sebarang maklumat menunjukkan mana-mana Perdana Menteri dari yang pertama hingga yang kesembilan memohon kekebalan atau pengecualian daripada tindakan undang-undang sivil.
“Malah, satu-satunya krisis imuniti yang pernah berlaku dalam negara ini hanyalah membabitkan institusi raja-raja semasa krisis perlembagaan dahulu. Namun begitu, undang-undang tetap memberi ruang untuk raja-raja dibawa ke muka pengadilan dalam situasi tertentu,” katanya.
Tambahnya lagi, permohonan Anwar untuk diberikan kekebalan oleh mahkamah seolah-olah mahu mewujudkan imuniti peribadi dalam berdepan saman sivil — suatu perkara yang amat menghairankan dan menimbulkan tanda tanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu di Padang Astaka, Chukai, semalam.
Ahmad Amzad turut mengulas tentang sikap Anwar Ibrahim yang menurutnya gemar menyaman pihak-pihak yang mengkritik beliau, namun tidak pula berani menghadapi kes-kes yang difailkan terhadap dirinya.
“Dalam kes saya misalnya, beliau menyaman saya hanya kerana perbualan biasa di kedai kopi Simbang Tokku, Chabang Tiga. Perbualan itu melibatkan lima atau enam orang sahaja, bukannya tokoh-tokoh besar pun.
“Saya sahut cabaran dan kes itu hampir dibicarakan, namun di peringkat akhir beliau melalui peguamnya meminta supaya kes diselesaikan di luar mahkamah. Takut untuk masuk kandang saksi,” katanya.
Menurut beliau, tindakan Anwar yang enggan membawa kes-kes ke mahkamah, termasuk kes saman oleh Yusoff Rawther, menimbulkan persoalan apakah yang cuba dielakkan oleh Perdana Menteri.
“Bila seseorang masuk kandang saksi, banyak perkara lama boleh dibangkitkan semula. Mungkin itu yang ditakuti beliau,” ujar beliau.
“Sebab itu, permohonan mendapatkan imuniti ini amat pelik dan wajar menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa sampai takut nak hadapi saman daripada seorang rakyat biasa?” tambah Ahmad Amzad.