KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri yang didakwa sambil lewa berhubung isu pemberhentian 5,000 pekerja kontrak PETRONAS.
Menurut beliau, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meremehkan isu itu dengan menyatakan bahawa mereka hanyalah pekerja berstatus kontrak mencerminkan sikap kurang empati terhadap nasib rakyat yang terjejas.
“Saya cukup kecewa dengan jawapan sambil lewa seorang Perdana Menteri berhubung rancangan PETRONAS berhentikan 5,000 pekerja dengan menyebut mereka ini berstatus kontrak.
“Nada jawapan beliau seolah-olah tiada empati bahawa 5,000 orang pekerja berkenaan adalah rakyat kita, ada keluarga yang bergantung hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada inilah pandangan sebenar kerajaan terhadap semua penjawat kontrak yang mudah dikorbankan apabila berlaku krisis atau penstrukturan syarikat.
Ahmad Amzad turut mengingatkan bahawa majoriti petugas sektor kesihatan negara, termasuk pegawai perubatan dan doktor pelatih, juga kini berstatus kontrak.
Kenyataan itu dilihat terus relevan ketika umat Islam di seluruh negara menyambut Aidiladha hari ini, apabila erti sebenar pengorbanan seharusnya turut merangkumi penghargaan kepada mereka yang saban hari berkorban tenaga dalam pembangunan negara termasuk golongan pekerja kontrak yang sering terpinggir.