KUALA TERENGGANU – Mufti Terengganu menegaskan bahawa fahaman pluralisme agama dan budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) merupakan ancaman besar terhadap akidah serta kehidupan umat Islam.
Dato’ Dr Mohd Sabri Haron berkata, kedua-duanya jelas bertentangan dengan wahyu dan ajaran Islam yang sebenar.
Menurutnya, pluralisme agama bukan sekadar mengiktiraf kewujudan pelbagai agama, tetapi turut membawa fahaman sesat yang menganggap semua agama adalah benar dan berada pada kedudukan yang sama.
“Pluralisme bukan sekadar mengiktiraf kepelbagaian (pluraliti), tetapi meletakkan semua agama pada kedudukan yang sama. Ini jelas bercanggah dengan prinsip tauhid dalam Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan program Diskusi Fiqh dan Fatwa Negeri Terengganu yang diadakan di Hotel Permai, di sini.
Jelasnya, fahaman-fahaman seperti itu tergolong dalam aliran pemikiran bebas yang menolak autoriti wahyu, sekali gus mencipta bentuk akidah baharu yang menyesatkan.
Tambah beliau, budaya LGBT bukan sekadar berkait dengan pemikiran, malah melibatkan perlakuan dan kecenderungan seksual songsang seperti transgender dan homoseksual, yang bertentangan dengan fitrah manusia serta ajaran wahyu Ilahi.
“Jadi kedua-duanya (pluralisme dan LGBT) perlu dijauhi oleh semua pihak kerana ia betentangan dengan ajaran islam itu sendiri,” tegasnya.