Home Minda Presiden

Pluralisme agenda musuh terhadap Islam

211
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 29 / 2024]
PLURALISME AGENDA MUSUH TERHADAP ISLAM


Pluralisme agama merupakan suatu konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai. Antara asas fahaman ini ialah:

  1. Tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain.
  2. Penerimaan terhadap kebenaran itu wujud dalam berbagai-bagai agama, bukan dalam satu agama sahaja. Di samping penekanan terhadap aspek-aspek yang diterima oleh agama-agama tersebut.
  3. Menggalakkan kerjasama dan dialog antara agama-agama yang berbeza bagi meningkatkan persefahaman melalui persamaan dasar dan konsep.
  4. Pluralisme digunakan sebagai suatu istilah untuk merujuk kepada keadaan hidup bersama secara harmoni antara penganut agama yang berbeza.

Pandangan terhadap agama mengikut fahaman pluralisme adalah sangat bercanggah dengan Islam, dan ia sangat sesuai atau selari dengan fahaman liberalisme dan sekularisme.

Islam membawa konsep tidak ada paksaan dalam beragama dan toleransi antara agama, tetapi tidak pernah sekali-kali menganggap semua agama adalah sama. Islam berbeza dengan agama lain dari segi aqidah atau iman, begitu juga dari sudut dasar dan hukum syariat yang menentukan sesuatu perkara itu sama ada benar atau batil, adil atau zalim. Islam ialah ajaran yang berwawasan dunia sehingga akhirat.

Penyelesaian Islam terhadap soal kepelbagaian agama adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama masing-masing, sebagaimana firman Allah SWT:

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

“Untuk kamu agama kamu, dan untuk aku agamaku.” [Surah al-Kafirun: 6]

Pada masa yang sama, Islam tetap ditegaskan sebagai agama yang betul dan benar. Adapun agama-agama yang lain itu salah dan tidak benar kerana ia bukanlah agama sebenar yang dibawa oleh para rasul dan anbiya’ AS. Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥

“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri (Islam) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan sukarela mahupun terpaksa mengikut fitrah, dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan. (83) Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa-apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya jua kami menyerahkan diri (menganut Islam).’ (84) Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85)” [Surah Ali ‘Imran: 83–85] 

Dan juga firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ١٩

“Sesungguhnya, agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang telah diberikan al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) antara mereka. Sesiapa yang kufur terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.” [Surah Ali ‘Imran: 19]

Maka, sangatlah salah dan sesat bagi sesiapa yang membawa teori persamaan antara Islam dengan agama yang lain dan juga menyamakannya dengan mana-mana ideologi yang lain, berdasarkan dalil-dalil yang banyak daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Walaupun terdapat titik persamaan dari segi beberapa jenama amalan yang baik dan menolak amalan yang jahat dari segi sebutan perkataannya, tetapi amatlah berbeza dalam kebanyakan aspek yang lain. Khususnya, perbezaan dari sudut dasar aqidah atau keimanan kepada Allah Yang Maha Esa, persoalan dosa dan pahala, perkara yang ghaib dan wawasan daripada dunia sehingga akhirat.

Kesempurnaan ajaran Islam meliputi segala aspek kejadian manusia. Adapun agama lain pula memisahkan aspek duniawi daripada urusan agama kerana dianggap urusan tersebut bukanlah sebahagian daripada agama.

Malah, sekalipun terdapat persamaan dalam amalan yang baik atau berkebajikan, tetapi amalan dalam Islam adalah berdasarkan kepada aqidah yang membuahkan keikhlasan kerana Allah. Islam menolak semua amalan yang baik dan meninggalkan kejahatan yang bercabang ke arah perbuatan yang ada syirik atau bertujuan selain daripada Allah yang dianggap seperti tuhan. Contohnya, meminta kepada perkara lain yang juga dianggap tuhan-tuhan selain daripada Allah seperti syaitan, patung dan berhala, manusia dan jin, termasuk para pemimpin atau raja atau agamawan yang diberikan hak ketuhanan.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٦٥

“Dan sesungguhnya, telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada mereka (nabi-nabi) yang sebelum kamu, ‘Sesungguhnya, jika kamu (dan para pengikutmu) mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” [Surah al-Zumar: 65]

Islam ialah agama yang sempurna mencakupi segala aspek kehidupan manusia, dari sudut jasad, roh, akal, individu, keluarga dan masyarakat, berwawasan dunia dan akhirat laksana mata rantai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

Allah menceritakan berkenaan kalangan Arab jahiliah yang mengerjakan ibadat haji dengan niat yang berbagai-bagai melalui firman-Nya:

فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَٰسِكَكُمۡ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَكُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِكۡرٗاۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ  ٢٠١  أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ٢٠٢

“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadat haji kamu, maka berzikirlah dengan menyebut nama Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyang kamu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak daripada itu. Maka, antara manusia ada orang yang berdoa, “Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia! Dan tiadalah baginya sedikit pun bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200) Dan antara mereka ada pula orang yang berdoa, “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada seksaan neraka.’ (201) Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian yang baik daripada apa-apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (202)” [Surah al-Baqarah: 200-202]

Allah juga menegaskan kesempurnaan agama Islam yang tidak mampu dicabar oleh kalangan bukan Islam. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:

…ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ … ٣

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agama kamu. Oleh sebab itu, janganlah kamu takut kepada mereka, (sebaliknya) takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu…” [Surah al-Ma’idah: 3]

Allah mewajibkan ajaran Islam diamalkan semuanya, tanpa mengamalkan semuanya dengan mengambil sebahagian ajarannya dan menolak sebahagian yang lain sahaja adalah suatu langkah-langkah syaitan yang merosakkan manusia. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]

Adapun agama yang lain membenarkan penganutnya mengambil sebahagian sahaja daripada ajarannya dan menolak sebahagian yang lain, bahkan membolehkan ajaran agamanya diubah oleh para agamawan masing-masing.

Hal ini sangatlah berbeza kerana Islam menetapkan perkara thawabit (tetap tidak berubah dan tidak boleh diubah) dalam perkara dasar dan rukun hidup, pada masa yang sama terdapat perkara mutaghayyirat (berubah dan berbeza) yang tidak membawa perpecahan dan pertembungan dalam seluruh ajaran Islam. Sehinggakan, diizinkan adanya berbagai-bagai mazhab kerana perubahan zaman atau perbezaan situasi dan realiti.

Namun, Islam sekali-kali tidak memaksa golongan bukan Islam yang berbeza dengannya, sekalipun dalam perkara rukun dan dasar.

Islam melaksanakan konsep perpaduan umat manusia berkonsepkan aspek kemasyarakatan dalam kehidupan dunia dan keadilan terhadap semua dalam segala urusan. Pada masa yang sama, tidak menyamakan antara agama dan bangsa yang berbeza, juga tanpa memaksa mana-mana pihak menganut Islam.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Seterusnya, firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah dengan menjadi saksi yang adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana sikap adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Islam mengikat penganutnya dengan simpulan aqidah yang kukuh tanpa paksaan menganut Islam oleh sesiapa pun. Apabila seseorang itu telah memeluk Islam, mereka tidak dibenarkan murtad kerana perbuatan itu akan merungkai perjanjiannya dengan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan. Di samping itu, sifat ketuhanan Yang Maha Esa itu berbeza dengan agama dan ideologi lain yang bebas untuk ditinggalkan oleh penganutnya.

Firman Allah SWT:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦

“Tidak ada paksaan untuk memeluk agama (Islam); kerana sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh kepada buhul tali (agama Allah) yang amat kuat dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]

Al-Quran dan hadis menunjukkan kemampuan Islam menangani perbezaan yang tidak boleh dihapuskan dalam kejadian manusia. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang bukan Islam, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (menang memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]

Islam berbeza dengan agama dan ideologi yang lain apabila menetapkan maqasid al-syari‘ah mengikut tertib keutamaannya, iaitu menjaga aqidah atau agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan manusia yang bermoral dan bermaruah serta menjaga urusan harta. Hal ini menjadikan pegangan seseorang manusia itu kepada agama Islam semuanya terkawal dengan baik, walaupun masing-masing menghadapi cabaran hidup yang berbeza dalam menjaga jati diri dalam semua keadaan. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan senang dan kaya, maka dia bersyukur; dan sekiranya seseorang itu susah dan sakit, maka dia bersabar.

Selain itu, Islam juga telah membuktikan kejayaannya menyatupadukan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan budaya berkonsepkan kemanusiaan dan adil kepada semua dalam sebuah negara besar dan luas bermasyarakat majmuk selama beberapa abad lamanya.

Berlaku kelemahan umat Islam bukanlah disebabkan ajarannya, tetapi apabila ajaran Islam tidak diamalkan dengan sempurna oleh penganutnya sendiri sehingga menyebabkan berlakunya kelemahan dan kejatuhan kerajaannya.

Kita menyaksikan berlakunya perpecahan antara setiap agama yang lain daripada Islam kerana kelemahan ajarannya dalam rukun agama, contohnya agama Kristian terpecah kepada kelompok Katolik, Ortodoks dan Protestan dalam aspek ketuhanan serta hukum asasi. Manakala dalam agama Hindu yang beraqidah syirik dan bersistem kasta. Begitu juga agama Yahudi, antara kelompok Zionis, Ortodoks dan kumpulan sekular. Semuanya berlaku kerana kelemahan dan kekurangan agamanya termasuk ideologinya yang tidak menyeluruh dalam aspek fitrah kejadian manusia.

Bukti yang berpanjangan menunjukkan kegagalan pluralisme yang berslogankan perpaduan yang sangat rapuh, khususnya apabila berkonsepkan liberalisme sekular yang terpisah daripada agama dan berlawanan dengan fitrah kemanusiaan, apabila tidak mengikut fitrahnya sekali gus merosakkan cara hidup.

Kita telah menetapkan prinsip yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 3 (1) bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain mempunyai kebebasan hak untuk diamalkan. Perkara ini telah mewujudkan keadaan yang aman dan harmoni dalam negara.

Maka, Islam yang sebenar wajib dipertahankan. Apa yang penting ialah mentafsirkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berpandukan al-Quran mengikut bahasanya, bukan mengikut bahasa penjajah kerana kita sudah lama memperoleh kemerdekaan.

Janji Allah itu benar-benar berlaku, apabila Islam ditegakkan mengatasi yang lain. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيْـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

Dan firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama yang lain, meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Apabila Islam dipinggirkan, kini kita menyaksikan mereka yang bijak akalnya sedang menipu dan berbohong, manakala golongan yang kaya pula sedang merompak secara haram dan bersifat menindas, golongan yang miskin dan sakit pula tidak sabar, golongan yang susah pula membunuh diri sendiri sehingga mereka dilihat tidak bermaruah dan bebas seperti binatang, bebas sehingga terbabas melakukan apa-apa sahaja.

Ideologi pluralisme tidak meletakkan Islam itu tinggi berkuasa sehingga memimpin manusia bermasyarakat majmuk yang telah berjaya dengan kesempurnaan ajarannya, khususnya dalam aspek fitrah kemanusiaan dan keadilan yang sempurna. Hal ini demikian kerana, Islam menetapkan raja-raja, para pemimpin dan kalangan agamawan dalam negara berperlembagaan berada di bawah kawalan dan sempadan undang-undang, sementara rakyatnya pula hidup bermoral.

Hal ini demikian kerana, semuanya hamba Allah yang tidak boleh mengatasi undang-undang dan mempermainkannya sehingga rakyat tertipu oleh pemimpin yang berbohong dan berlagak seperti Tuhan Yang Maha Berkuasa. Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Allah melarang seseorang itu memberi kuasa ketuhanan kepada mana-mana pemimpin atau raja atau kumpulan al-mala’ atau agamawan yang meletakkan diri mereka mengatasi hukum agama atau undang-undang.

Apabila Islam dipinggirkan dalam keadaan kalangan agamawan juga menipu dan mengampu, laksana kalau gurunya kencing berdiri maka muridnya pula kencing berlari. Firman Allah SWT:

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٤٤

“Patutkah kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu (kewajipan kamu) sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berakal (berfikir)?” [Surah al-Baqarah: 256]

Golongan sebegini berada dalam masyarakat kerana pangkat dan harta.

Firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١

“Mereka menjadikan orang-orang alim (para pendeta) dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih (‘Isa) putera Maryam, padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada segala apa yang mereka sekutukan.” [Surah al-Tawbah: 31]

Islam menentang konsep teokrasi yang memberi hak kuasa kepada para agamawan sewenang-wenangnya dan memberi kuasa diktator secara dictatorship (kuku besi) dengan bertopengkan demokrasi. Hal ini disebabkan kesemua konsep itu memisahkan urusan dunia daripada agama, dan perkara ini hanya berlaku dalam agama dan ideologi selain Islam. Maka, Islam dihalang oleh semua pihak bagi berkuasa memimpin.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢

“Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa. (21) Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap. Dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan yang menjadi rezeki kamu. Maka, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah itu Maha Esa). (22)” [Surah al-Baqarah: 21-22]

Islam wajib ditegakkan berkonsepkan tanpa paksaan dan adil terhadap semua, pada masa yang sama mendahulukan perdamaian demi hubungan persaudaraan kemanusiaan.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 10 Muharram 1446 / 16 Julai 2024