Home Berita PAS Terengganu

Platform ADUN Belia lonjak potensi pemimpin muda negeri

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Persidangan ADUN Belia Terengganu terus memberi impak signifikan terhadap landskap kepimpinan belia negeri, sekali gus memperkukuh peranan anak muda dalam sistem demokrasi dan tadbir urus negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Siri Ke-3 yang berlangsung pada Mei 2025 berjaya meneruskan momentum positif yang telah dibina sejak siri pertama persidangan dilaksanakan.

Menurutnya, penekanan utama persidangan kali ini adalah kepada pembentukan generasi muda yang kompeten, berkeyakinan dan bersedia memimpin.

“Antara sorotan utama yang memberi kesan langsung kepada pembangunan kepimpinan belia ialah aspek pendedahan dan pengalaman berimpak tinggi.

“Persidangan ini menjadi platform penting untuk memantapkan kepimpinan muda melalui perbahasan berasaskan fakta, hujah yang bernas serta pembentangan usul yang mengangkat suara belia dalam sistem demokrasi negara.

“Para ADUN Belia diberikan ruang untuk mengasah keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan bersedia sebagai pelapis kepimpinan masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di sini, semalam.

Tambahnya lagi, Persidangan ADUN Belia juga telah diangkat sebagai salah satu inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030, antaranya melalui penubuhan Akademi Al-Fateh sebagai kesinambungan usaha pembangunan bakat belia yang proaktif dan berpaksikan nilai rabbani.

“Siri-siri terdahulu dari tahun 2019 hingga 2023 telah membuktikan keberkesanan platform ini.

“Pihak TSIS (Terengganu Strategic & Integrity Studies) turut menjalankan penilaian terhadap penyertaan dan hujah peserta bagi tujuan penambahbaikan berterusan. Malah, beberapa cadangan yang dikemukakan telah diterjemahkan ke dalam program serta dasar pembangunan belia di peringkat negeri dan tempatan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan karakter pemimpin muda yang mampu mengemukakan cadangan bernas, disokong data dan fakta, adalah asas penting kepada pewarisan kepimpinan negeri yang berwibawa, progresif dan bertanggungjawab.