Home Berita PAS Terengganu

PKR lawan Al-Quran

172
SHARE

Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama, demikian kata-kata salah seorang pemimpin parti itu dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR semalam.

Hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf. Al-Quran menegaskan firman Allah SWT kepada para malaikat ketika hendak mencipta manusia pertama iaitu Nabi Adam AS, daripada zuriatnya dilahirkan seluruh manusia. Firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Para ulama’ mentafsirkan perkataan khalifah dalam bahasa al-Quran yang disebutkan dalam ayat di atas dengan makna siasah yang bererti politik. Perkara ini telah dihuraikan oleh para ulama’ sebagaimana berikut:

‌إِقَامَةُ ‌الدِّينِ ‌وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِهِ.

“Menegakkan al-din (Islam) dan politik mentadbir urusan dunia dengan Islam (siasah).” (Al-Mawardi dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, ms. 15 dan Ibn Khaldun dalam kitab Tarikhnya, jld. 1, ms. 239)

Di samping melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dengan melakukan ibadat, Allah juga mewajibkan kepada seluruh hamba-Nya agar berpolitik.

Oleh itu, Allah SWT juga melantik para rasul supaya berdakwah yang tidak terpisah daripada urusan politik. Peranan itu berakhir dengan lahirnya nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang berdakwah dan berhijrah untuk menyempurnakan tuntutan berpolitik dengan menegakkan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW tetap mengekalkan kedudukan raja-raja yang memeluk Islam, seperti al-Najasyi Malik bin Ashamah yang merupakan Raja Habsyah, Raja Oman, raja-raja di Yaman dan lain-lain. Ini adalah pelaksanaan hukum politik Islam.

Begitu juga dengan kurniaan Allah SWT berupa kenabian dan kerajaan kepada Bani Isra’il yang ditegaskan melalui firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَعَلَ فِيكُمۡ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكٗا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمۡ يُؤۡتِ أَحَدٗا مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ‘Wahai kaumku! Ingatlah ni‘mat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi antara kamu, dan dijadikan-Nya bagi kamu raja-raja, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun antara umat-umat yang lain.’” (Surah al-Ma’idah: 20)

Al-Quran membawakan contoh konsep khalifah dan raja melalui beberapa kisah. Antaranya, kisah Nabi Daud AS yang dilantik menjadi khalifah. Kisah ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يَٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَٰكَ خَلِيفَةٗ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٞ شَدِيدُۢ بِمَا نَسُواْ يَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ٢٦﴾

“Wahai Daud! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan Hari Perhitungan.” (Surah Sad: 26)

Selain itu, Allah SWT juga mengiktiraf Nabi Sulaiman AS yang dilantik menjadi raja secara warisan, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَوَرِثَ سُلَيۡمَٰنُ دَاوُۥدَۖ وَقَالَ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ عُلِّمۡنَا مَنطِقَ ٱلطَّيۡرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيۡءٍۖ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡمُبِينُ١٦﴾

“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: ‘Wahai manusia! Kami telah diberikan pengertian tentang suara burung dan kami diberikan segala sesuatu. Sesungguhnya, (semua) ini benar-benar suatu kurniaan yang nyata.’” (Surah al-Naml: 16)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ بَنُو إسْرائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, para anbiya’ menjadi pemimpin (siasah) yang mentadbir urusan politik mereka.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3455 dan Muslim, no. 1842)

Allah SWT juga menegaskan mengenai konsep politik secara umum adalah untuk menegakkan keadilan kepada seluruh manusia, sebagaimana firman-Nya:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan Uli al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, perkara itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Islam mewajibkan gabungan politik antara para pemerintah dengan para ulama’, termasuk daripada kalangan raja-raja yang terkandung maksudnya dalam istilah Uli al-Amri yang berprinsipkan beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat.

Imam al-Ghazali RH telah menulis dalam kitabnya yang masyhur:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Al-din (Islam) itu asasnya, adapun sultan (pemerintah yang mempunyai kuasa politik) pula menjadi pengawasnya. Sesuatu perkara yang tiada asasnya, akan runtuh (binasa); manakala perkara yang tiada pengawas yang berpolitik mentadbir akan menyebabkan ajaran agama dihilangkan.” (Abu Hamid al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)

Perkara ini sekali gus menunjukkan bahawa Sultan (raja-raja) juga mempunyai hak kewajipan berpolitik.

Namun demikian, apa yang berlaku sekarang adalah kita masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik. Malah, raja-raja hanyalah ditugaskan supaya menjaga agama sahaja.

Apa yang dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang telah dipesongkan daripada agama para anbiya’, sepertimana yang disebutkan dalam petikan ini:

“Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.”

“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21)

Al-Quran mendedahkan kesesatan Ahli Kitab yang bertindak meminda kitab Allah. Hal ini telah dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ٧٩﴾

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: ‘Ini dari Allah’, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 79)

Silakan baca Perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menegaskan hukum tertinggi ialah al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas. Inilah asas agama yang menjadi pegangan PAS dan perjuangannya. Adakah kerana perkara ini, maka PAS dituduh memperalatkan agama?

Bagaimanakah pula dengan perjuangan PKR?

Kita berharap supaya mereka kembali kepada al-Quran; petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman.

Sesungguhnya, melawan al-Quran bermakna melawan Allah yang Maha Berkuasa.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Sya‘ban 1444 / 19 Mac 2023

[Bil: 17 / 2023]