Home Berita PAS Terengganu

PKPD : PAS Dun Rantau Abang belanja RM35K untuk penduduk mukim Sura

243
SHARE

Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 25 Julai -Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang telah membiaya sebanyak RM35000 untuk membantu menampung keperluan seharian penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di Mukim Sura.

Mengulas lanjut, Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD)nya, Cikgu Alias Harun berkata menerusi Lajnah Kebajikan DUN telah mengagihkan empat kali sumbangan yang melibatkan 318 buah rumah di tiga lokaliti iaitu Kampung Gong Pasir, Perumahan Awam Kos Rendah(RAKR) Gong Pasir dan Taman MAIDAM yang mewujudkan Kluster Gong Pasir.

“Bermula 11 hb, kita mengedarkan barangan dapur secara berperingkat memandangkan kesukaran mendapat bekalan, kita juga mengagihkan ayam segar sebanyak dua kali dan terakhir daging korban,” jelasnya lagi.

Katanya, perintah berkenaan yang sepatutnya tamat semalam tetapi telah dilanjutkan sehingga 6 Ogos memandangkan masih ada kes positif baharu COVID-19 di kawasan berkenaan.

” Walaupun begitu kita tetap akan terus membantu memberi sumbangan kerana kita sedar mereka tidak dapat keluar bekerja dan sudah tentu tidak ada punca pendapatan untuk menyara keluarga,” luahnya dengan penuh rasa simpati.

Beliau yang juga ADUN Rantau Abang itu, berkata demikian ketika Majlis Bacaan Yassin dan Al Mathurat Peringkat DUN tersebut secara atas talian semalam.

Program anjuran Urusan Ulama DUN yang diadakan pada setiap hari Jumaat malam Sabtu sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“DUN Rantau Abang sekarang ada tiga kluster selain kluster Gong Pasir, ada juga Kluster Padang Pulut dan Kluster Pulau Serai dan kita berharap dua kluster tersebut tidak dikenakan PKPD,” ujarnya lagi.