Home Artikel PAS Terengganu

PKPD Kg Tajin : Tiga SJR dan laluan utama ditutup

21
SHARE

HULU TERENGGANU, 11 Jun -Tiga sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di sekitar Kampung (Kg) Tajin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula jam 12.01 tengah malam ini.

Antara SJR terbabit termasuk di hadapan Surau Hijau Kampung Telaga, hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) dan hadapan gelanggang Futsal Kg Kuala Akob.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata PKPD berkenaan membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 buah rumah meliputi kawasan seluas 10 kilometer persegi.

“Sekatan ini didirikan untuk mengawal dan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke kawasan kampung tersebut.

“Seramai 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia(APM) dan RELA terbabit dalam penugasan di sini.

“Pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya turut diperketat dengan tapisan individu dibuat lebih teliti bagi memastikan hanya mereka yang dibenarkan sahaja boleh berada di jalan raya,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan SJR di Kg Tajin, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Tambahnya lagi, laluan jalan utama Kg Tajin (kawasan PKPD) hanya akan dibenarkan kepada kenderaan Jabatan/Agensi dan pembekalan ‘esential’ ke kawasan PKPD sahaja.

“Oleh kerana Kg Tajin terletak di laluan utama Sungai Tong ke Kuala Berang, jadi pengguna perlu menggunakan jalan altenatif Kg Kepah-Payang Kayu untuk ke Kuala Berang dan sebaliknya kerana penutupan jalan ini.

“Papan tanda laluan alternatif akan disediakan,” kata beliau.

Untuk rekod, penularan jangkitan mula berlaku di kg Tajin akibat dari kluster berkaitan pergerakan semasa sambutan Aidilfitri 2021 yang berlaku di Kampung Matang dan Kampung Tengkawang.

Akibat daripada penularan jangkitan dari kedua-dua kluster tersebut seramai 502 orang penduduk telah disaring dan 31 orang dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 6.17 peratus dan seramai 57 orang sedang dikuarantin.