Home Berita PAS Terengganu

PKP 3.0: Suasana Suram Di Hulu Terengganu

290
SHARE

HULU TERENGGANU, 23 Mei – Suasana sekitar Bandar Kuala Berang dan Pekan Ajil  di sini kelihatan sedikit suram susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati premis perniagaan beroperasi seperti biasa namun pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan kini agak sunyi berbanding sebelum ini.

Manakala di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pekan Ajil menghala ke pusat bandar ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jumlah kenderaan yang dilihat di daerah ini berkurangan berikutan ramai penduduk memilih untuk mematuhi arahan dengan duduk di rumah masing-masing.

Ia jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini, yang mana daerah ini sentiasa sibuk dengan jumlah kenderaan yang banyak terutama pada hari bekerja.

Peniaga pakaian, Nor Azila Elias, 34 berkata, jualannya agak merosot sebelum hari raya Aidilfitri lagi berbanding tahun lepas dan berikutan kekurangan pelanggan.

“Sebelum ini, jualan agak baik namun mula berkurangan apabila PKP dilaksanakan kerana prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis hari raya dan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Kebanyakan pengunjung Bandar Kuala Berang pada musim tibanya perayaan adalah anak anak perantau yang pulang berhari raya untuk mendapatkan pelbagai barangan raya masing-masing,” ujarnya.

Dia berkata, kini pelanggan dari luar tidak dapat merentas daerah susulan PKP dilaksanakan di seluruh negara menyebabkan perniagaan di Kuala berang hanya bergantung kepada penduduk Hulu Terengganu sahaja.

“Bayangkan, banyak pakaian tidak terjual apabila hanya tiga ke empat pelanggan sahaja yang datang dalam sehari sejak PKP dikuatkuasakan berbanding ramai pelanggan setiap hari sebelum ini,” katanya.

Bagi peniaga ayam, Abd Razak Omar, 45 pula berkata, peniaga barangan basah sepertinya turut menerima nasib sama sebelum hari raya lagi.

“Jualan agak merosot dan tidak sebanyak dahulu namun nasib saya agak baik sedikit berbanding peniaga pakaian disebabkan barangan basah ini tidak hanya khusus untuk Aidilfitri sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, dia turut mendapati suasana Pekan Ajil yang agak suram apabila masyarakat tidak keluar melakukan aktiviti seperti sebelum ini kerana pematuhan PKP yang dilaksanakan.

Jelas beliau, situasi yang berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) usaha tersebut tidak lain bertujuan untuk memastikan keselamatan rakyat di negara ini.

“Kita semua kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan. Segala yang diputuskan oleh kerajaan ada hikmah di sebaliknya dan sudah tentu untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.

“Oleh itu apa yang perlu kita lakukan adalah mematuhi setiap arahan serta perlaksanaan PKP ini bagi membolehkan apa yang dirancang kerajaan berjaya dan semestinya untuk kepentingan semua,” katanya