Home Berita PAS Pahang

PKD Beserah anjur kursus untuk peniaga kecil

100
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 29 Jan :: Seramai 16 orang peniaga kecil sekitar DUN Beserah telah menghadiri Kursus FB Ads (Facebook Advertisement) anjuran Pusat Khidmat DUN Beserah di Eastville Residence, Sungai Karang kelmarin.

Ia bertujuan untuk membantu para peniaga kecil bagi mempromosi dan menyebarkan maklumat produk atau servis mereka dengan lebih cepat, mudah dan berkesan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila program yang dirancang telah berjaya dilaksanakan.

“Peniaga kecil perlu diberi galakan untuk mempromosi jualan mereka secara dalam talian, latihan dan bimbingan ini penting sebagai pendedahan buat mereka meneroka bidang serta kaedah pemasaran baharu yang akan memberi impak kepada pendapatan mereka kelak.

“Lebih 19 juta rakyat Malaysia menggunakan facebook, maka ia merupakan medium yang terbaik yang patut digunakan.

Beliau menambah lagi, kursus seumpama ini akan diadakan secara bersiri. Cadangan kursus selanjutnya adalah modul perniagaan di Shopee yang akan diadakan pada 5 Februari 2022.

“Kursus ini masih ada beberapa kekosongan, jadi saya alu-alukan untuk turut serta,” ujar beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, mengharapkan siri-siri bengkel yang diadakan dapat membantu para peniaga kecil meneroka dan mengendalikan perniagaan secara online dengan baik.

Salah seorang peserta kursus ini Mohd Shafiq Abd.Rahman, peniaga cincau melahirkan rasa seronok dapat mempelajari Fb Ads untuk mempromosikan cincau yang diusahakannya.

Fb Ads jualan cincau saya telah pun menembusi pasaran dan alhamdulillah telah ada peningkatan tempahannya sejak ianya dipromosikan pada hari kursus tersebut.

“Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada PKD Beserah yang membantu kami peniaga kecil, untuk maju dan meningkatkan hasil pendapatan kami.

“Dan saya berharap kursus berikutnya dapat diikuti dengan lebih ramai lagi peserta dari peniaga kecil,” tambah beliau lagi.