Home Berita PAS Perlis

PJ Puji Kepantasan PDRM Tangani Isu Iklan

534
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 17 Apr: Tindakan pantas PDRM dalam isu iklan raya kontroversi yang dihasilkan oleh sebuah syarikat perjudian mendapat pujian daripada Pesuruhjaya PAS Perlis.

Mohd. Shukri Ramli yang dihubungi hari ini merakamkan ucapan terima kasih sambil memuji tindakan pantas yang telah diambil PDRM.

“Bagi pihak PAS Negeri Perlis, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak polis yang telah mengambil tindakan pantas menahan para pelakon yang terlibat dalam iklan berkenaan.

“Pendirian PAS berkenaan isu judi sangat jelas dan tidak berubah sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun semasa menjadi sebagai sebahagian daripada kerajaan pada hari ini.

“Justeru, kami menyelar kebiadaban syarikat judi yang menghina sensitiviti umat Islam dengan mempromosikan judi menerusi iklan raya dan PAS Perlis berharap semua pihak yang terlibat diheret ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.

Ujar Mohd Shukri lagi, perbuatan menghina Islam dan maruah umatnya dilihat semakin menjadi-jadi dan sekiranya tidak dibendung, dibimbangi akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

“Walaupun berstatus judi berlesen, ianya bukan bermaksud mereka (syarikat perjudian) bebas mempromosikan perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira sensitiviti masyarakat, khasnya umat Islam,” ujarnya.

Semalam, pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi telah menahan para pelakon dalam video iklan raya berkenaan yang tular hingga menimbulkan kegusaran awam.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dalam satu kenyataannya kepada media.

Kesemua suspek akan direman pada hari ini untuk siasatan lanjut.