Home Berita PAS Perlis

PJ gembira penyatuan ummah masih wujud di Perlis

356
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI 

ARAU, 5 Mei: Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd. Shukri Ramli melahirkan rasa gembira kerana usaha penyatuan ummah di negeri ini masih wujud di sebalik dakwaan sesetengah pihak.

Ujarnya rakyat khususnya di negeri ini masih mengharapkan umat Islam dapat kembali bersatu setelah sekian lama berpecah akibat perbezaan ideologi politik.

“Perpecahan mungkin menguntungkan sebilangan kecil pihak yang berkepentingan, tetapi hakikatnya ia merugikan majoriti umat Islam.

“Kita sudah merasai betapa peritnya hidup pada ketika umat Islam-Melayu hilang kuasa pemerintahan, jadi apakah sekarang kita mahu mengulangi perkara yang sama (berpecah)?

“Alhamdulillah, di negeri ini (Perlis), saya lihat usahanya (penyatuan ummah) masih berjalan sampai ke hari ini,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ahlli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang berlangsung di Dewan Serbaguna UniMAP Kubang Gajah, di sini.

Hadir sama, Pengerusi BERSATU Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah serta kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis dan Bersatu Negeri Perlis.

Katanya lagi, PAS Perlis akan terus komited dalam manjayakan usaha penyatuan ummah sepertimana yang telah diputuskan oleh parti.