Home Berita PAS Pahang

Pimpinan wajib dalami ilmu pengurusan organisasi

122
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 27 Feb :: “Wajib kita mendalami ilmu tentang pengurusan organisasi, pengurusan diri dan lain-lain yang berkaitan dengan amanah yang dipikulkan,” tegas Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan Wan Razali Wan Noor dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS (DMP) Kuantan di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan mengingatkan sidang mesyuarat agar berpegang kepada pesanan Saidina Umar Al-Khattab dalam melaksanakan gerak kerja organisasi “Dalamilah ilmu sebelum kalian menjadi pemimpin”.

Mesyuarat Agung Tahunan DMP Kuantan kali ke-34 telah dihadiri 121 perwakilan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Kerja Kawasan dan 14 Cawangan PAS Kuantan.

Pemilihan pada mesyuarat tersebut menyaksikan kepimpinan sesi 2023-2025 kekal kepada Ustazah Rosmani Mustafa, Ustazah Sakinah Mokhtar dan Ustazah Azizah Ali, masing-masing sebagai Ketua, Timbalan dan Naib Ketua DMP Kawasan Kuantan.

Mesyuarat tersebut yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islam Peramu (PUTIP) diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu istimewa dari kalangan isteri pimpinan ahli jawatankuasa kerja PAS kawasan, seorang pemerhati dari DMP Negeri dan dua orang pemerhati dari Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Kuantan.

Ustazah Rosmani dalam ucapan penangguhannya menyatakan, “Setiap barisan kepimpinan yang baru dilantik ini tidak semestinya yang terbaik dari kalangan kita semua, jadi marilah kita saling berganding bahu membantu memperkasa dan melaksanakan gerak kerja parti.

“Jangan pernah ada hasrat untuk mengundurkan diri dari amanah kepimpinan ini selagi ada kemampuan. Sebut sahaja parti Islam, ianya adalah sesuatu yang kita sayang dan perjuangkan,” ujar beliau.