Home Berita PAS Terengganu

Pihak berkuasa agama diseru bertindak tegas tangani LGBT

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa agama diseru agar mengambil tindakan tegas dan berterusan dalam menangani fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk pluralisme agama dan gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dilihat menular dalam masyarakat.

Seruan itu disuarakan oleh Dato’ Dr Haji Mohd Sabri Haron yang menekankan bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berpaksikan nilai dan prinsip Islam wajar dijadikan asas dalam menyekat penyebaran ideologi yang menyesatkan.

“Undang-undang tubuh kerajaan negeri lazimnya dibina atas asas prinsip dan nilai Islam. Namun, perubahan zaman dan kemunculan isu-isu baharu seperti fahaman ini menuntut penelitian lebih mendalam serta keputusan melalui saluran fatwa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan Program Diskusi Fiqh dan Fatwa Negeri Terengganu yang berlangsung di Hotel Permai di sini semalam.

Menurutnya, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menghakis akidah dan merosakkan tatanan sosial masyarakat jika tidak ditangani dengan tegas.

“Secara jelas, kedua-dua fahaman ini tidak wajar diamalkan atau diberi tempat di mana-mana negeri di Malaysia,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak, terutamanya institusi agama dan masyarakat, sentiasa berwaspada dan menolak sebarang unsur yang boleh membawa kepada penyebaran fahaman sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Setiap individu juga perlu mengambil tanggungjawab untuk melindungi diri dan komuniti daripada terjebak dengan ideologi songsang yang boleh merosakkan aqidah serta keharmonian negara,” ujarnya.