KUALA TERENGGANU – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengesahkan komitmen jangka panjangnya untuk melabur di pantai timur, khususnya di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata kenyataan itu adalah sorotan daripada pembukaan Mayang mall, bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan portfolio hartanah syarikat di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.
Menurutnya, Mayang Mall dengan jumlah pelaburan melebihi RM400 juta bukan sekadar pusat beli-belah, malah simbol kepada pembukaan peluang pelaburan strategik PHB di wilayah pantai timur.
“Bukan hanya tertumpu kepada pusat beli-belah, kita akan tengok pendidikan dan juga ‘healthcare’ di Terengganu. Sebab kami melihat Terengganu ini banyak potensi terutamanya dari segi pendidikan dan ‘healthcare’.
“Memang ada kami telah membuat perbincangan secara formal dengan beberapa institusi korporat dan pendidikan di Terengganu. Tetapi ianya masih di tahap perbincangan.
“Tapi insya-Allah kami yakin ia akan membuahkan hasil perkongsian perniagaan yang berdaya maju dan kolaborasi yang lebih berjangka panjang,” katanya.

Sebagai syarikat pengurus amanah hartanah untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), PHB juga optimis pelaburan di Terengganu akan memberikan pulangan jangka panjang kepada para pelabur, khususnya rakyat negeri itu yang melabur dalam AHB.
“Istimewanya, kami bukan sahaja menawarkan unit ‘trust’ AHB, tetapi kami akan berusaha keras untuk dapatkan pelaburan di Terengganu.
“Rakyat Terengganu yang melabur dalam AHB akan dapat merasai hasil daripada pembangunan aset di negeri mereka sendiri.
“Meskipun ia mengambil masa, usaha ke arah pelaburan tersebut telah pun dimulakan.
Beliau yang juga merupakan mantan Pengarah Eksekutif (Pelaburan) LembagaTabung Haji (TH) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang bertempat di Mayang Mall, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Damshal turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan menumpukan fokus kepada hartanah komersial seperti pembangunan kediaman.
“Kami tidak masuk dalam industri perhotelan, kami lebih kepada ‘commercial property’ tetapi dari segi ‘living quarters’ yang berkaitan dengan penempatan, kemungkinan kita juga boleh masuk dalam kuarters pekerja ataupun penginapan pelajar.
“Tetapi bukan hotel,” ujarnya.