Titiwangsa, 10 Jun – Satu program sumbangan bersama para petugas pilihanraya PAS Kawasan Titiwangsa telah diadakan di PASTI al-Hidayah, Jalan Gurney. Program yang merupakan agenda tahunan ini bertujuan untuk menghargai pengorbanan dan usaha yang telah diberikan oleh petugas pilihanraya sepanjang PRU ke-14 yang lalu.
Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Ketua Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa, Ustazah Syarifah Rashidah bagi mewakili pihak PAS kawasan. Dalam ucapannya beliau telah memberikan kata-kata semangat kepada para petugas dan mendoakan supaya kerja kuat tersebut diberi balasan syurga oleh Allah.
“Walaupun masih belum dikurniakan kemenangan, kita akan terus berusaha untuk menegakkan perjuangan Islam bersama PAS. Melalui panduan al-Quran dan sunnah perjuangan Rasulullah, kita yakin Islam menawarkan penyelesaian kepada masalah yang melanda rakyat Malaysia secara amnya”, katanya.
Turut hadir ke program ini Ketua PAS Zon Keramat Haji Mohd Amin Abdullah, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Puan Aishah Abdul Wahab dan AJK PAS Kawasan yang lain. Petugas yang diraikan ketika ditemui kelihatan gembira dapat bersua muka di bulan Ramadhan ini sebelum menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Terdahulu program yang sama turut diadakan di zon Pandan dan Kampung Baru. Keseluruhannya seramai 170 orang petugas telah diberikan sumbangan tanda terima kasih bagi pihak PAS Kawasan Titiwangsa.