KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegur kebergantungan berterusan kerajaan terhadap Petronas dalam pembiayaan Belanjawan 2026.
Hamzah menyifatkannya sebagai langkah tidak mampan yang boleh menjejaskan masa depan ekonomi negara.
Menurut beliau, bagi tahun 2026 sahaja, kerajaan dijangka menerima bayaran dividen sebanyak RM20 bilion daripada Petronas, selain menggunakan dana syarikat itu untuk membiayai projek Bandar Madani berjumlah RM4 bilion dan transaksi Bandar Malaysia sebanyak RM12 bilion.
“Masalahnya sampai bila?. Sampai bila kerajaan mahu terus menyembelih angsa yang sedang mengeluarkan telur emas untuk rakyat?,” soal beliau ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, dividen Petronas tidak boleh dijadikan ‘tabung kecemasan’ kerajaan setiap kali berlaku defisit kerana ia adalah syarikat strategik negara yang sepatutnya menumpukan pelaburan demi masa depan negara.
“Jika setiap tahun hasil Petronas digunakan untuk tampung operasi kerajaan, maka tidak lama lagi Petronas akan jadi seperti lembaga zakat kepada kerajaan, bukan lagi syarikat minyak negara,” katanya.
Perikatan Nasional, katanya, menegaskan bahawa sumber hasil negara mestilah berpaksikan kepada aktiviti ekonomi sebenar, pelaburan, inovasi dan peningkatan produktiviti – bukan bergantung kepada keuntungan syarikat milik negara semata-mata.