Home Berita PAS Terengganu

Petronas bantu 400 Keluarga ‘Sambut’ Aidilfitri

19
SHARE

KUALA TERENGGANU – 400 keluarga berpendapatan rendah (B40) dari Kuala Terengganu, Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut menerima bantuan dari Yayasan Petronas bagi melengkapkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata pihaknya menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Memacu Kehidupan : Hari Raya Aidilftri.

“Program ini merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya di musim perayaan.

“Oleh itu, kami berharap sumbangan asas ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping membantu memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Yayasan Petronas Memacu kehidupan Aidiltri yang diadakan sekali dengan majlis berbuka puasa, di Dewan Gamelan 1, Primula yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Mengulas lebih lanjut, Shazly berkata melalui program berkenaan, seramai 1,350 keluarga kurang bernasib baik yang turut membabitkan Kelantan dan Pahang telah menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM1 juta.

“Ini merupakan sebagaian daripada fokus Yayasan Petronas kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan komuniti yang dianjurkan bersempenan dengan perayan-perayaan utama di Malaysia.

“Di dalam usaha Petronas menyokong, menyemarakkan keceriaan serta membangkitkan perasaan kasih sayang sempena musim perayaan di kalangan rakyat yang selari dengan agenda kelestarian Petronas dan Matlamat pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Untuk rekod,dalam majlis berkenaan setiap keluarga selain menerima barangan makanan asas harian mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang.

Bagi menyemarakkan lagi lebaran yang bakal menjelang itu, Petronas turut menyampaikan biskut raya yang disediakan oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat).