Home Berita PAS Terengganu

PETRA tinjau kelancaran Projek air dan tenaga di Terengganu

100
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan perlu memantau secara dekat kemajuan projek berkaitan sumber tenaga dan bekalan air yang sedang dijalankan di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Zawawi Ismail berkata kehadiran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Skuad ke beberapa lokasi di Terengganu sejak semalam adalah sebahagian daripada usaha agar segala perancangan dan pelaksanaan projek dapat diteruskan dengan lancar serta memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat negeri Terengganu.

Katanya, ia susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri II, Dato’ Sri Fadillah Yusof bersama rombongan PETRA selama dua hari ke Terengganu bagi meninjau pelaksanaan projek serta inisiatif strategik sektor air dan tenaga di negeri ini.

“Lawatan ini penting dalam memastikan projek yang dirancang berjalan mengikut jadual dan memberikan impak positif kepada rakyat, khususnya dari segi kecekapan pengurusan air dan tenaga,” katanya dalam satu hantaran rasmi di facebook semalam.

Terdahulu ketibaan delegasi PETRA Skuad Zon Timur disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu Majlis Makan Malam rasmi yang turut dihadiri oleh Zawawi yang juga merupakan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong,

Lawatan kerja dua hari ini dijangka melibatkan pemantauan ke beberapa tapak projek pembangunan termasuk pembaikan sistem bekalan air luar bandar, penyelenggaraan loji rawatan air serta kajian awal bagi pelaksanaan tenaga boleh baharu di kawasan tertentu.