DUNGUN – Pesta Moreh Rhu Berderu 2.0 yang berlangsung di Laman Pokok Rhu, berhadapan SMK Sura, berjaya menarik perhatian ramai dengan konsep santai dan unik yang diinspirasikan daripada filem-filem lagenda arwah Mamat Khalid.
Pengerusi Koperasi Majlis Perbandaran Dungun Berhad (KOPEDU), Ahmad Tarmizi Ghazali, berkata filem arwah seperti Man Laksa dan Hantu Kak Limah menjadi inspirasi dalam mewujudkan suasana kampung, nama gerai jualan, serta gaya dekorasi yang mencerminkan kehidupan masyarakat desa yang harmoni dan penuh jenaka.
“Kami cuba hidupkan semula suasana yang sering dipaparkan dalam filem arwah Mamat Khalid, yang penuh dengan nilai kemasyarakatan dan nostalgia kampung.
“Sebab itu, gerai-gerai di sini dihias dengan konsep warung kampung dan ditambah dengan elemen tradisional yang mengingatkan kita kepada filem-filem beliau,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selpas Majlis Perasmian Pesta Moreh Kampung Rhu Bederu 2.0 Anjuran bertempat di Laman Pokok Rhu SMK Sura Dungun, Jalan Pantai kelmarin.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Sementara itu, Razali berkata sebanyak 60 gerai menyertai pesta itu, menawarkan pelbagai juadah moreh dan makanan tempatan, termasuk menu istimewa seperti laksa, kuih tradisional, serta pelbagai jenis minuman popular.
“Saya menyambut baik usaha tersebut kerana bukan sahaja mempromosikan keindahan Kampung Sura Tengah, malah menjadikannya sebagai produk pelancongan yang unik di Terengganu.
“Saya mencadangkan supaya kawasan ini diwartakan sebagai destinasi pelancongan baharu di Dungun, kerana ia bukan sahaja menarik pada bulan Ramadan, tetapi berpotensi menjadi tarikan sepanjang tahun jika program seperti ini diteruskan,” katanya