MARANG – Pesalah khalwat berulang yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai pada penghujung Disember tahun lalu, menyokong hukuman tersebut terus dilaksanakan kepada pesalah-pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di negeri Terengganu.
Buruh binaan berusia 43 tahun itu menyifatkan, kelainan pelaksanaan hukuman tersebut benar-benar memberikan kesan kepada dirinya.
“Memang betul-betul mendatangkan keinsafan, saya tidak mahu buat lagi biarlah ini kali terkahir. Sewaktu kena? rasa macam tiada perasaan, tidak tahu hendak kata benda, sakit campur malu ada belaka.
“Sakit itu tidak mengapa boleh hadap lagi. Sepuluh boleh hadap lagi 20 boleh hadap lagi, tetapi malu itu.
“(Tetapi) cara dia itu moleklah, saya sokong. Ia boleh beri pengajaran kepada orang lain sebab saya tahu betapa peritnya malu itu, datangnya keinsafan, bukan peritnya sakit. Kena (sebat) memang sakit, kalau kita ‘piat’ (rotan) lembu pun lembu lari, tetapi jika dibandingkan dengan sebatan dadah (sivil) yang itu lebih teruk lagi,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dibebaskan bersama 47 banduan lain menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Marang, semalam.
Mengimbas kembali ketika hukuman diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu, bapa kepada lima orang anak itu menyatakan, dia reda dan cuma memohon hukuman dilaksanakan segera bagi membuktikan keinsafannya.
“Cuma, saya tidak fikir, sebab tidak pernah kena (sebatan di khalayak ramai), tanya orang pun tidak tahu. Biasalah dipermain orang itu ‘kena piat tengah padang bolalah’ dan sebagainya, semua itu saya tidak tahu.
“Selepas kena (dilaksanakan) itu saya reda lah. Sangkaan dan khabar angin jauh beza (dengan pelaksanaannya),” ujarnya.
Menerima pembebasan secara PBSL setelah kira-kira tiga bulan ditahan, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah itu berhasrat kembali bekerja semula.
“Insya-Allah tauke percaya pada kita. Semasa kes pertama dan kedua pun tauke bantu sebab dia tahu kita tidak main benda lain, barang dia pun kita tidak khianat, kerja kita buat comel.
“Tidak pandai mana nak beri nasihat, sebab kita rasa macam nak beri nasihat kita ini tidak berapa molek lagi, tidak betul lagi.
“Kepada budak-budak muda sekarang ini, sudahlah buat-buat berkhalwat, sakit tidak balas (setara) mana, tetapi malunya lebih. Sedap sekejap saja, sakit sekejap saja tetapi malu lama. Habis malu anak keluarga kita, tak payah buatlah,” nasihatnya.