Home Berita PAS Perlis

‘Pesakit meninggal di depan mata’

182
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 27 Mei: Seorang petugas perubatan sebuah hospital di sini menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan pesakit yang meninggal di depan mata.

Dr Wan Mohd Redzuan Wan Hassan yang ditugaskan menjaga pesakit Covid-19 yang stabil dan separa stabil berkata, peristiwa berkenaan merupakan antara peristiwa yang tidak mungkin beliau dapat lupakan.

Menceritakan lanjut, beliau berkata, beliau sedang berehat ketika dimaklumkan oleh seorang petugas lain menerusi panggilan telefon bahawa seorang pesakit tidak lagi memberikan respon.

“Rondaan wad sebelah pagi berjalan seperti biasa hari tersebut. Selesai kerja, sekitar jam 12 tengah hari kami pun naik ke bilik doktor berehat melepaskan lelah sebelum bersiap untuk rondaan sebelah petang.

“Tiba-tiba rakan saya dimaklumkan melalui panggilan telefon ada pesakit yang tidak memberi respon, walhal baru saja pagi tadi dia bersembang seperti biasa dengan kami, sekarang sudah tidak sedarkan diri.

“Kami pun bergegas turun. Ya, memang pakcik tadi tidak memberi sebarang respon bila dipanggil oleh staf yang edarkan makanan tadi,” katanya lagi di sini.

Sambung beliau, para petugas kemudiannya cuba memeriksa vital sign ke atas pesakit berkenaan sebelum prosedur berikutnya dapat dijalankan.

“Perkataan seperti tanda vital (vital sign), Rawatan Pemulihan Sistem Jantung (CPR), Kelengkapan Pelindung Diri (PPE), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan proses mengembalikan semula fungsi organ manusia (resus) sudah menjadi kebiasaan buat petugas di hospital.

“Setelah beberapa prosedur dilakukan, pakcik berkenaan telah disahkan meninggal dunia dan peristiwa ini meninggalkan mimpi ngeri dan kesan mendalam buat saya dan rakan yang terlibat pada petang tersebut,” ujarnya.