Home Kenyataan Media PAS Selangor

Perutusan YB Pesuruhjaya PAS Selangor sempena Hari Guru 2017

1272
SHARE

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera

Firman Allah S.W.T

Mafhumnya:

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. [Surat Al-Mujadalah 11]

Kedatangan tanggal 16 Mei mengajak kita sama sama mengenang sejenak jasa jasa mereka yang disebut Pahlawan Tanpa Tanda Jasa iaitu para guru.

Sekali menjadi guru selamanya guru. Panggilan istimewa ‘Cikgu’ akan melekat di hati dan sampai ke mati. Ini adalah kerana guru adalah murabbi yang menjadi pembimbing manusia dalam kehidupan. Mereka mengajar dan mengenalkan kita erti setiap sesuatu yang kita tidak tahu. Menjadi penyuluh yang menerangi jalan kegelapan.

Sudah tentu kedudukan mereka sangat mulia dan dihormati lantaran apa yang mereka berikan kepada anak muridnya tidak pernah mereka menagih ganjaran atau balasan. Namun disisi Allah selama mana ilmu yang diberikan itu mengalir manfaat dan kebaikannya, maka ganjaran besar menanti kalian di akhirat sana.

Bagi pihak PAS Selangor saya merakamkan dengan penuh rasa hormat kepada semua guru, Selamat Hari Guru 2017. Semoga diberkati dan dirahmati Allah.

Putik baru mekar di laman
Kembang kudup kembang terikat
Hargai guru sepanjang zaman
Agar hidup beroleh berkat.

Sejahtera Bersama Islam

Salam Hormat

YB Ustaz Sallehen Mukhyi
Pesuruhjaya
PAS Selangor
16 Mei 2017

{jathumbnail off}