Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perutusan Tahun Baru Cina DMPM 2019

239 views
SHARE

Perutusan Tahun Baru Cina DMPM 2019

Salam Sejahtera dan Persaudaraan.

Mengenali budaya masyarakat pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia merupakan satu nikmat kepada warganegara Malaysia yang terkenal dengan keharmonian dan perpaduan.

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar Lunar Cina. Tahun 2019 ini merupakan tahun babi.Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan rezeki dan kehidupan.

Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul.  Rumah dan halaman rumah akan dibersihkan.  Segala jenis hutang-piutang dikutip atau diselesaikan agar kehidupan mereka dimurahkan rezeki tanpa hutang sepanjang tahun yang baru.  Pokok dan buah limau yang sinonim dengan perayaan Cina adalah sebagai simbol murah rezeki.

Selain itu, Tahun Baru Cina disambut dengan gembira oleh semua lapisan masyarakat tidak kira yang muda atau tua dan terutama oleh mereka yang belum berkahwin kerana pada masa ini mereka akan menerima “Ang Pow” daripada ibu bapa, sanak saudara dan rakan-rakan yang telah berkahwin.

Justeru itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru rakyat Malaysia sama-sama saling kenal-mengenali, hormat-menghormati dan bantu membantu dalam memberikan kebaikan untuk ahli-ahli masyarakat di sekeliling kita.

Allah swt dalam berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Akhir kata, Selamat Tahun Baru Cina kepada kaum Tionghua dan seluruh rakyat Malaysia. Semoga tahun yang mendatang dimurahkan rezeki dan terus melakukan kebaikan untuk semua.

‘Islam Memimpin’
‘Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan’

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 Februari 2019 bersamaan 29 Jamadil Awal
1440H.