Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Tahun Baru Cina

301 views
SHARE

Islam memandang kewujudan kepelbagaian kaum dan bangsa di Malaysia sebagai satu perkara positif berkonsepkan Masyarakat Madani. Setiap bangsa mempunyai kemahiran dan kepakaran tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan asas yang kukuh berkaitan bangsa dan agama dengan menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan penganut agama lain bebas mengamalkannya tanpa paksaan dalam Islam dan adil untuk semua.

Islam mengajar penganutnya supaya menunaikan amanah dan berlaku adil terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kedatangan Islam disambut oleh penduduk setempat kerana percaya hanya Islam adil untuk semua sehingga mereka sendiri tidak sanggup berada di bawah pemerintah yang zalim dari bangsa sendiri.

PAS yang berpegang dengan dasar Islam telah berjaya memerintah Kelantan (1959- 1979, 1990-kini), Terengganu (1959-1963, 1999-2004) dan Kedah (2008-2013) tanpa diskriminasi kaum, tidak dirobohkan rumah ibadat bukan Islam dan memberi bantuan secara adil kepada mereka sehingga berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat walaupun bukan Islam hanya minoriti.

Allah menyatakan dalam Al-Quran:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ النساء.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada kaum Tionghua dan rakyat negara ini. Marilah kita membina Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS