05 Mei 2019
1. Bersempena Sya’ban yang telah bertemu penghujungnya, saya mewakili saff kepimpinan PAS Kawasan Libaran ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat Islam di seluruh dunia.
2. Kewajipan berpuasa terhadap umat Islam telah dirakamkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”. Maka harus kita yakini bahawa puasa dapat meningkat ketaqwaan di samping menambah bekalan pahala.
3. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang tidak asing lagi dengan kelebihannya yang tersendiri memandangkan terdapat banyak dalil yang mengatakan tentang kelebihan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Maka dengan itu, bulan Ramadhan seharusnya menjadi madrasah ibadah kepada semua umat Islam untuk mendidik diri mengumpul amal soleh.
4. Namun demikian, umat Islam pula tidak boleh menjadikan puasa sebagai alasan untuk berlesuan dalam kehidupan seharian sepanjang bulan Ramadhan. Sejarah telah membuktikan kemenangan umat Islam dalam Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan dengan kekuatan tentera seramai 313 orang sahaja. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Allah tidak menzalimi hamba-Nya dalam apa juga syariat yang telah ditetapkan justeru setiapnya pasti berhikmah.
5. Justeru itu, marilah kita mengambil peluang untuk mengumpul saham akhirat pada Ramadhan kali ini. Semoga setiap umat Islam mengambil peluang dengan menjadikan Ramadhan sebagai titik pemula agar kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Semoga tiap ibadah yang kita lakukan membuahkan rasa ikhlas sekaligus meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.
SEJAHTERA BERSAMA ISLAM
SABAH SEJAHTERA
ABDUL WAHEED MOHD
Yang Dipertua
PAS Kawasan Libaran