Home Berita Presiden

Perutusan Presiden PAS Sempena Maal Hijrah 1440H

154 views
SHARE

Perutusan Presiden PAS Sempena Maal Hijrah 1440H

Hari ini umat Islam seluruh dunia diuji hebat dengan pelbagai bentuk penindasan termasuk di bumi Malaysia. Cabaran besar yang datang bukan sahaja kesan perang ketenteraan seperti perang proksi, bahkan serangan pemikiran. Umat Islam mulai meragui Islam adalah penyelesaian kepada konflik kemanusiaan sehingga mengambil ideologi dan akal manusia semata-mata sebagai panduan.

Bertitik tolak dari sejarah penghijrahan ini, umat Islam haruslah sedar dan benar-benar menghayati mesej daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dan para sahabat dengan pengertian yang sebenar. Matlamatnya untuk membina sebuah masyarakat yang hidup aman dan melaksanakan keadilan dengan menjadikan Islam memimpin bukan dipimpin dan menjadi dasar kepada pembangunan negara bukan sekadar penerapan kepada nilai-nilai ibadat dan peribadi semata-mata.

Firman Allah Taala:

 وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا (100)

 “Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai tempat dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”. (Surah An-Nisa’:100)

Tanggungjawab mempertahankan Islam adalah salah satu usaha yang menepati matlamat hijrah yang digariskan Islam. Tugas mempertahankan Islam tidak mengira sesiapa, sama ada para pemerintah, raja-raja, ahli politik, para ulama’ serta mufti, kumpulan Islam, NGO-NGO dan umat seluruhnya. Mempertahankan Islam satu kemuliaan. Marilah kita bekerjasama atas semangat ta’awun dan menghayati maknanya dalam mempertahankan kesucian agama daripada celaan mereka yang memusuhi Islam, dalam masa yang sama tanpa menafikan hak bukan Islam hidup dalam sebuah masyarakat madani berkonsepkan adil untuk semua.

Sempena dengan itu, saya mengambil kesempatan bagi pihak PAS untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah bagi tahun 1440H kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan tahun baharu ini, seluruh umat Islam, rakyat dan negara Malaysia tercinta senantiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS