Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Maulidur Rasul 1443H

270
SHARE


PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1443H

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ  يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا٥٦

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kalian kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)

Bersempena dengan bulan Rabi‘ul Awwal, menjadi kelaziman buat umat Islam menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW. Kita menyambut kelahiran Baginda SAW dengan tujuan untuk menzahirkan rasa kasih sayang dan kerinduan kepada Rasulullah SAW serta pemangkin semangat bagi menyambung perjuangan Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kalian pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat: 13)

Rasulullah SAW memulakan langkah mendirikan negara dengan mendahulukan perpaduan umat dalam kalangan penganut Islam daripada kelompok Muhajirin dan kelompok Ansar. Termasuklah juga kabilah Arab yang lain, bersama individu bukan Arab seperti Bilal bin Rabah RA dan Salman al-Farisi RA.

Seterusnya, diikuti dengan penyertaan kaum bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Musyrikin. Mereka semua menerima kepimpinan Islam yang diberikan peluang memimpin, setelah melihat kegagalan kepimpinan bangsa mereka.

Kesempurnaan Islam mengikut konsep wasatiyyah yang ditunjukkan oleh Allah SWT, model pelaksanaan yang bijak oleh Rasulullah SAW dan generasi awal, telah berjaya membuatkan Islam diterima oleh masyarakat majmuk. Pendekatan Rasulullah SAW secara matang dan sejahtera dalam menguruskan negara bermasyarakat majmuk seharusnya menjadi panduan kepada kita bagi membina sebuah negara Malaysia yang sejahtera.

Sunnah Baginda SAW menjadi panduan dan asas bagi menghayati perjuangan yang akan terus dilangsungkan oleh umat Islam pada hari ini. Jadikan kepimpinan Rasulullah SAW sebagai acuan dalam melaksanakan agenda penyatuan umat yang terkandung dalam makna umat dakwah dan umat ijabah.

MANHAJ RABBANI, UMMAH BERKUALITI

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Rabi‘ul Awwal 1443 / 19 Oktober 2021