Home Artikel PAS Perlis

Perutusan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis

1047
SHARE


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين وبه نستعين والصلاة والسلام علي اشرف المرسلين وعلي اله واصحابه اجمعين.

Marilah kita mengangkatkan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah SWT kerana kita dikekalkan dalam Iman dan Islam, sesungguhnya dengan dua nikmat dan rahmat tersebut akan menghantarkan kita kpd keredaan Allah dan akan ditempatkan di dalam Syurga Allah di akhirat nanti. Insya Allah.

Di seluruh dunia, di kebanyakkan negara sedang hadapi pelbagai ujian, terutama yang dihadapi oleh umat Islam. peperangan, kemiskinan, penyakit dan sebagainya.

Ujian seperti ini pernah dialami oleh generasi sahabat seperti yang digambarkan dalam surah al baqarah (155-156) maksudnya :
Dan pasti Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata “Sesugguhnya kami milik Allah, kepada-Nyalah kami dikembalikan”.

Ayat ini secara khusus menggambarkan apa yang dialami oleh golongan sahabat Rasulullah SAW yang menerima ujian sebelum dan selepas hijrah dari Mekah ke Madinah. Namun ibrah yang lebih umum dari ayat di atas mencakupi dengan suasana yang sedang kita hadapi ketika ini, antara lain ialah wabak COVID-19.

Banyak pihak telah memberi pandangan, cadangan mengikut kepakaran masing-masing. Pandangan para alim ulamak yang kita sanjungi. Termasuk kerajaan yang memerintah telah melakukan pelbagai kaedah perubatan dan pengkuat kuasaan undang-undang sekatan atau menghadkan pergerakan sebagai usaha ikhtiar untuk mengekang COVID-19 terus merebak.

Sekiranya ia terus merebak tentulah akan mengundang pelbagai kesulitan dan keresahan yang akan dihadapi oleh semua orang. Oleh itu DUPNPs ingin menasihatkan agar kita mematuhi dan memberi kerjasama terhadap usaha tersebut, semoga dengan demikian wabak COVID-19 diangkatkan atau ditiadakan oleh Allah SWT. Apa pun langkah-langkah pencegahan tersebut tidak lebih sebagai usaha dan ikhtiar manusia yang sememangnya diperintahkan oleh Allah SWT. Namun kesudahan yang mutlak tertakluk kekuasaan dan kehendak Allah SWT.

Justeru marilah kita berdoa, agar usaha dan ikhtiar oleh pihak berwajib ini akan diberi kejayaan oleh Allah, di samping kita berdoa agar diberi kekuatan berusaha, bersabar, dan bertawakal kepada Allah SWT untuk mengahadapi ujian ini. Sebagai orang beriman kita yakin tentu di sana terdapat rahsia atau kebaikan tertentu samada nyata atau tersembunyi untuk dikurniakan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa. Pastinya melalui ujian ini Allah akan menghapuskan dosa, mengangkatkan darjat dan menggandakan pahala di sisi Allah. Berdasarkan satu hadith yang bermaksud :
Tidak sesuatu yang menimpa seorang mukmin dari bala’, bencana atau kesukaran, atau kerunsingan, sehingga duri yang menikamnya melainkan Allah akan menebus dengannya segala dosa (diampunkan dosa).

Justeru, marilah kita ingat mengingat agar kita terus menerus mendekatkan diri kepada Allah samada waktu senang atau waktu susah, melalui ibadat kita kepadaNya, sama ada yang wajib, mahupun banyakkan yang sunat seperti qiamullail, berdoa, baca al Quran, berzikir, bacaan ma’thurat, bersedeqah dan sebagainya. Bagi tujuan terpelihara dari keburukan Rasulullah mengajarkan kita berdoa seperti berikut : 3 kalj pagi dan petang.
بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الارض ولا في السماء وهو السميع العليم

USTAZ HAJI IDRIS YAACOB
Ketua,
Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis