RAMADHAN WASILAH MENUJU TAQWA
قالَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم:” قال اللهُ : كلُّ عملِ ابنِ آدمَ لهُ إلاالصيامَ ، فإنَّه لي وأنا أُجْزي بهِ , والصيامُ جُنَّةٌ ، وإذا كان يومُ صومِ أحدِكُم فلايَرْفُثْ ولا يَصْخَبْ ، فإنْ سابَّه أحدٌ أو قاتَلَهُ فلْيقلْ : إنِّي امْرُؤٌ صائمٌ, والذي نفسُمحمدٍ بيدهِ لَخَلوفِ فمِ الصائمِ أطيبُ عندَ اللهِ من ريحِِ المسكِ ,للصائمِ فَرْحتانِيفرَحْهُما
إذا أَفطرَ فَرِحَ ، وإذا لقي ربَّه فَرِحَ بصومِهِ” .
(رواه البخاري ومسلم)
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu, bahawasanya Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: (Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Setiap amal anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk –Ku, Aku yang akan membalasnya. Puasa adalah perisai, jika kalian sedang berpuasa janganlah berkata kotor atau mengherdik. Apabila seseorang mengumpat atau memusuhinya, katakan: “Aku sedang berpuasa.” Demi Dzat yang jiwa Muhammad ditangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah dari pada minyak wangi, bagi orang yang berpuasa ada dua kebahagiaan, ketika berbuka puasa ia bergembira dan ketika bertemu Rabbnya ia gembira dengan pahala puasanya.
( HR. Bukhari Muslim )
Konsep taqwa menurut Syarak ialah meninggalkan segala larangan Allah dan melakukan segala suruhanNya. Di dalam bulan ramadan penuh barakah ini, segala perkara yang membatalkan puasa perlu dihindari. Mentaati perintah Allah dalam menjalankan ibadah puasa juga adalah lambang jiwa manusia sama ada bertaqwa atau pun tidak. Sesungguhnya manusia yang bertaqwa itulah sebaik-baik manusia di sisi Allah.
Apabila menyebut taqwa dalam bulan ramadan, ia menjadi ‘wadah’ manusia untuk berlumba-lumba melakukan amal kebaikan. Ramadan memupuk kita untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadah secara berjemaah. ‘Tarbiyah Ramadan’ akhirnya mampu memberi kesan kepada iman, akhlak dan membaiki kelakuan kita untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Hal ini kerana, perintah puasa berperanan juga sebagai benteng keimanan kita dari melakukan kemungkaran dan kemaksiatan yang dibenci Allah. Bahkan Allah SWT yang memberikan ganjaran pahala kepada hamba-hambaNya seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas.
Kadang-kadang kita terlupa bahawa puasa bukan setakat menahan diri daripada makan dan minum tetapi lebih dari itu, iaitu memelihara diri dari sifat-sifat mazmumah bagi memastikan ibadah puasa yang dilakukan dapat dilaksanakan secara ikhlas sehingga menimbulkan kemanisan iman dalam beribadah. Sikap-sikap yang tidak mendatangkan manfaat seperti suka mengumpat, mencela atau menghina sesama manusia perlu dielakkan.
Berbahagialah jiwa-jiwa yang berpuasa ramadan semata-mata berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT. Dijanjikan kepada mereka tentang dua kegembiraan iaitu ketika dia berbuka puasa dan dia bergembira bertemu allah dengan pahala puasanya.
Marilah wahai masyarakat Islam, kita bersama menjadikan ramadan kali ini ramadan yang lebih baik dari sebelumnya. Kami dari Dewan Muslimat Negeri Selangor mengucapkan “Selamat Menyambut Bulan Ramadan al-Mubarak”. Moga segala amalan ramadan kita diterima Allah.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Menerajui Kesejahteraan Selangor”
USTAZAH WAN HASRINA BINTI WAN HASSAN
Ketua,
Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor
1 Ramadan 1439H / 17 Mei 2018