PERUTUSAN KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI SELANGOR SEMPENA MAAL HIJRAH 1439H
Allah telah merakamkan fragmen kehidupan dan interaksi harmoni yang sangat mempersonakan melalui cerminan antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dalam konteks Al-Itsar iaitu mengutamakan dan mementingkan saudaranya meskipun ia sangat memerlukan. Cerminan ini merupakan capaian tertinggi dari sebuah implementasi ukhuwah yang telah terakam dalam sejarah hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat.
“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Anshar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”
(Surah Al-Hasyr 59 : 9)
Ukhwwah Islamiyyah antara Muhajirin dan Ansar yang disatukan dengan asbab dan pengorbanan yang bukan sedikit, memperoleh penghargaan dan jaminan yang tertinggi, iaitu redha Allah dengan berfirman:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, ALLAH redha kepada mereka dan merekapun redha kepada ALLAH dan ALLAH menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah 9 : 100)
Selain daripada Muhajirin dan Ansar yang melakukan hijrah, Allah masih membuka peluang jaminan dan penghargaan yang sama dengan mereka kepada siapa sahaja di zaman pasca hijrah dengan syarat mampu mengikuti jejak teladan Muhajirin dan Ansar.
Konteks ibrah dari Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat amat sarat dengan nilai perjuangan, pengorbanan, kepeduliaan terhadap sesama manusia, kesabaran dan persaudaraan (ukhuwah) yang melebihi batas kekeluargaan dan kekerabatan serta mengutamakan kekuatan ikatan aqidah. Nilai luhur ini merupakan nilai universal berterusan berlaku sepanjang zaman yang perlu kepada kefahaman, penghayatan dan implementasi.
Dari Saidatina Aisyah RA berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada hijrah lagi setelah ditaklukkannya kota Makkah, tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Dan jika kalian dipanggil untuk berperang, maka berangkatlah.”
(H.R. Muttafaqun ‘alaihi)
Dewan Muslimat PAS negeri Selangor berkeyakinan penuh bahawa ujian nilai hijrah akan tetap menjadi neraca ketulusan dan kualiti iman seseorang dengan sebuah jaminan bahawa hijrah yang diperintahkan Allah SWT adalah untuk persaudaraan di atas aqidah dan kemaslahatan ummah.
Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1439H
# Sejahtera Bersama Islam
#Muslimat Memacu Kemenangan.
#Pertegas Prinsip Perjuangan
Ustazah Hjh Wan Hasrina Binti Wan Hassan
Ketua Dewan Muslimat
PAS Negeri Selangor.
1 Muharam 1439H |
22 September 2017