PERUTUSAN HARI PEKERJA 2018 DARIPADA KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI SELANGOR
Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 105:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ.
Maksudnya: “Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”
Islam menggalakkan umat manusia supaya bekerja dan berusaha untuk mencari kebaikan dalam kehidupan. Bekerja juga merupakan tuntutan fardu ain iaitu wajib dilaksanakan seseorang mukallaf selagimana ia mempunyai kudrat untuk mencari keselesaan hidup di dunia. Setiap individu yang bekerja demi melaksanakan tanggungjawabnya pada keluarga sama ada dari sudut penyediaan tempat tinggal, pakaian dan makanan amat dipandang mulia di sisi Islam.
Mereka yang bekerja mencari rezeki dan nafkah di pelbagai sektor perlu meyakini bahawa tugas bekerja adalah suatu amanah yang akan disoal dan ia dinilai oleh Allah SWT. Oleh itu, nilai integriti dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah perlu usaha diwujudkan dalam budaya bekerja. Hal tersebut bagi memastikan setiap tindakan atau perbuatan yang diambil dalam melaksanakan sesuatu amanah mendapat keberkatan rezeki dari Allah yang Maha Kaya dan Maha Pemberi.
Justeru, masyarakat Islam di Malaysia perlu niat bekerja ikhlas kerana Allah SWT, menitikberatkan aspek halal dan haram dari sumber pekerjaan yang diceburi dengan menghindari syubhah (keraguan sumber rezeki), menjaga akhlak Islamiyyah, tekun dan profesional dalam bekerja, tidak melanggar prinsip-prinsip Islam dan memelihara ukhwah sesama pekerja. Bekerja dengan bersungguh adalah salah satu jihad di jalan Allah di atas kepayahan dan pengorbanannya mencari rezeki dan dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:
“Barang siapa yang pada waktu petang hari duduk kerana keletihan lantaran pekerjaan yang telah dilakukannya, maka ia akan mendapat pada hari tersebut dosa-dosanya diampuni oleh Allah s.w.t”.
(Riwayat Thabrani)
Marilah kita berusaha menggembleng tenaga dan potensi diri untuk bercita-cita menjadi pekerja yang itqan (tekun) dan istiqamah melakukan kebaikan di setiap amalan kerja. Penerapan nilai-nilai etika kerja Islam ini dapat menyumbang kepada budaya bekerja yang positif dan sihat demi membina kesejahteraan agama, bangsa dan negara Malaysia.
Akhirnya, Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Pekerja’ buat para pekerja yang telah memberi khidmat untuk pembangunan insaniah atau fizikal di negara Malaysia yang kita cintai.
USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Muslimat,
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.
15 Syaaban 1439H | 1 Mei 2018