Home Kenyataan Media PAS Selangor

PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN DARIPADA DEWAN MUSLIMAT PAS SELANGOR

43 views
SHARE

Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan

Pengertian kemerdekaan memberikan makna yang sangat bererti bagi sesebuah negara yang bebas dari penjajahan. 31 Ogos 1957, tarikh keramat yang telah melakar sejarah Malaysia merdeka daripada penjajahan sekaligus lambang kedaulatan negara ini. Alhamdulillah kini Malaysia sudah mencapai 61 tahun merdeka.

Kemerdekaan ini terlalu besar ertinya buat meraka yang lahir sebelum merdeka. Pelbagai penindasan yang meraka lalui dalam kehidupan sebelum merdeka pastinya menjadi kenangan dan meninggalkan parut luka dalam sejarah kehidupan.

Generasi yang lahir pasca merdeka, mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk menjaga kedaulatan, perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.

Merdeka yang sebenar ialah merdekanya jiwa daripada belenggu jahiliah dan toghut bukan hanya bebas daripada penjajah semata-mata. Mensyukuri nikmat kemerdekaan membawa jiwa kembali kepada pencipta. Melaksanakan perintahnya dan mengabdikan diri kepadanya.

Allah SWT berfirman,

“Barangsiapa yang ingkar kepada Toghut, dan beriman kepada Allah , maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha mendengar, Maha Mengetahui” (Surah Al-Baqarah : 256)

Tema “Sayangi Malaysiaku” memberikan gambaran besarnya tanggungjawab rakyat untuk menjaga Negara ini daripada segala anasir yang boleh merosakkan keharmonian Negara.

Sesuai dengan Firman Allah SWT,

“Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan Allah” (Surah Ar-Rum : 42)

Allah SWT telah menegaskan dengan memperlihatkan contoh bagaimana kerosakan di muka bumi Allah ini telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia yang ingkar dengan perintah Allah. Urustadbir muka bumi Allah ini telah ada peraturan dan hukumnya. Sebagai umat yang bersyukur, kita perlu melaksanakan dan jangan sekali membuat kerosakan-kerosakan yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah SWT.

Akhir sekali, Dewan Muslimat PAS Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan Kali Ke-61 kepada seluruh rakyat Malaysia. Marilah bersama membina Baldatun Tayyibatun Warobbun Ghafur, Negara yang baik yang diredhai Allah SWT.

“Istiqamah Membina Selangor Sejahtera”

USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor.

31 Ogos 2018
19 Zulhijjah 1439H