Foto : Ghazali Kori
SETIU – Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM90 juta bagi projek Pengawalan Hakisan Pantai di kawasan Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit.
Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, projek telah mula dilaksanakan pada Julai 2023 dan status kemajuan fizikal projek terkini adalah 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.
Ujarnya, projek-projek yang dijalankan meliputi kerja-kerja ‘beach nourishment’ sepanjang dua kilometer (KM) dan pembinaan 16 ‘breakwater’ bagi memulihara semula kawasan pantai itu.
“Saya difahamkan tadi (semalam) ada pemecah ombak yang berjaya siap hingga 92 peratus tetapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan yang kemajuannya mencapai 10 peratus, 20 peratus kerana sudah tentu setiap pelaksanaan itu mengambil masa sedikit.
“Alhamdulillah, diberi jaminan oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen dalam jangka masa pendek untuk lapan pemecah ombak yang telah dirancang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Mad Zaidi berkata, jumlah keseluruhan untuk pelbagai projek air di Terengganu membabitkan peruntukan RM287.8 juta di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, ia melibatkan 27 projek yang turut merangkumi 22 projek berkaitan sumber air, tebatan banjir, tiga projek bekalan air dan dua projek berkaitan pembentungan.