Home Berita PAS Terengganu

Peruntukan kena sama semua Ahli Parlimen

293
SHARE

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – PAS menuntut Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan agar memberi peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil pembangkang.

Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, YB Dato Haji Amzad Hashim berkata, kerajaan yang lalu mengagihkan sama rata semua wakil rakyat tak kira pihak kerajaan ataupun pihak lawan.

“Kerajaan yang lalu peruntukan diberi kepada pembangkang jadi kalau seperti mana yang cuba dijenamakan oleh Perdana Menteri sekarang kerajaan sekarang ialah kerajaan perpaduan.

“Perkara asas di dalam menyatupadukan dan mewujudkan perpaduan ialah adalah mewujudkan keadilan di dalam segala segi termasuklah bagi membolehkan semua wakil rakyat yang telah dilantik secara sah wakil mereka beri peruntukan sewajarnya.

“Untuk membolehkan mereka melaksanakan khidmat mereka kepada rakyat di kawasan parlimen masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada hari ini.

Menurutnya, ia adalah perkara asas dan hak yang perlu dihormati oleh kerana spertimana diketahui kerajaan Pusat ada tanggungjawab di bawah jadual dalam perlembagaan dan begitu juga negeri.

Sementara itu, beliau yang juga Mantan Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap agar Menteri yang memegang jawatan tersebut sekarang ini meneruskan 17 pelan hala tuju teknologi seiring Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Katanya, pelan berkenaan menyasarkan pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada tahun 2030.

“Saya berharap khususnya dasar-dasar utama yang telah kita laksanakan pelan hala tuju teknologi dan inovasi 2021-2030 di teruskan kerana ia satu pelan dasar yang penting dalam membantu ekonomi negara.

“Seperti mana yang kita tahu Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 ini antara pemangkin utama adalah pengguna pakaian teknologi perkembangan sains teknologi.

“Kalau perkara ini tidak diselarikan saya takut gagalkan dari segi membangunkan negara,” tambah beliau lagi.