Home Berita PAS Terengganu

Peruntuk lebih RM1.3 juta perkukuh biosekuriti dan galak pensijilan myGAP

3
SHARE

BESUT – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan lebih RM1.3 juta bagi memperkukuh industri akuakultur negeri melalui insentif Pensijilan Amalan Akuakultur Baik Malaysia (MyGAP), peningkatan infrastruktur biosekuriti dan bantuan kepada pengusaha kecil.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim, peruntukan tersebut melibatkan pemberian bantuan berbentuk ‘in-kind’ seperti kemudahan sanitasi, stor makanan, pagar kawasan, sistem rawatan air masuk dan keluar serta peralatan pemantauan kesihatan ternakan.

“Lima penternak dari Hulu Terengganu, Marang dan Besut menerima Insentif myGAP bernilai RM180,000 merangkumi kemudahan sanitasi, stor, pagar dan sistem rawatan air.

“Projek Peningkatan Infrastruktur Biosekuriti di Kluster Limbongan pula menerima RM265,000 untuk menaik taraf pengurusan air masuk dan buangan, bagi menjamin bekalan air ternakan bersih dan mengelak pencemaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, semalam.

Selain itu, Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2025 melibatkan peruntukan RM900,000 disalurkan kepada 222 pengusaha di seluruh negeri, termasuk penyediaan makanan rumusan ikan, benih, set pengudaraan dan pukat sangkar.

“Langkah ini sejajar dengan Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2024–2030 yang menyasarkan pengeluaran 6,512 tan metrik pada tahun ini, dengan keutamaan kepada pengusaha kecil, projek baharu dan kluster strategik,” katanya.

Justeru itu, Kerajaan Negeri optimis usaha bersepadu ini mampu melonjakkan Terengganu sebagai peneraju industri akuakultur negara yang moden, berdaya saing dan mesra alam.