Home Berita PAS Terengganu

Pertandingan Fotografi Sultan Mizan diperluas ke peringkat antarabangsa

58
SHARE

KUALA LUMPUR – Pertandingan fotografi anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diberi nafas baharu apabila diperluaskan ke peringkat antarabangsa dengan nama baharu, Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pertandingan ini akan berlangsung dari Jun hingga Disember 2025.

Katanya, penyertaan terbuka kepada jurufoto profesional, penyelam serta pembikin filem pendek dari seluruh dunia.

“Sebanyak lima kategori utama akan dipertandingkan, iaitu ‘Underwater Wide Angle’, ‘Underwater Macro’, ‘Nature and Wildlife’, ‘Heritage, Culture and ‘People, serta ‘Short Film’.

“Pertandingan ini bertujuan mempromosikan keindahan landskap, biodiversiti, warisan dan budaya Terengganu. Ia juga menjadi platform strategik untuk memperkenalkan negeri ini kepada komuniti antarabangsa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SMIPA 2025 sempena Malaysia International Dive Expo (MIDE) 2025 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato’ Seri Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.

Razali berkata penganjuran SMIPA bertepatan dengan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Terengganu Year 2027.

“Kami yakin pertandingan ini mampu menarik perhatian penggiat seni visual dari seluruh dunia, sekali gus mengangkat Terengganu sebagai destinasi pelancongan dan sinematografi bertaraf antarabangsa.

“Orang ramai yang berminat boleh menghantar penyertaan secara digital melalui laman web rasmi www.sultanmizanphotography.com,” ujarnya.

Untuk rekod, pertandingan ini dahulu dikenali sebagai Sultan Mizan Underwater Photography Awards (SMUPA) dan kini telah dinaik taraf sebagai Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA).