Home Berita PAS Terengganu

Persidangan Saintifik Biodiversiti Himpun 350 Penyelidik Dan Pendidik

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 350 penyelidik dan pendidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu berkumpul di Terengganu bagi menyertai Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025.

Persidangan anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu itu diadakan di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu dan telah berlangsung selama tiga hari mulai 4 Ogos sehingga 6 Ogos 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran edisi julung kali ini merupakan platform penting dalam mendokumentasikan penemuan saintifik dan menyampaikan ilmu kepada generasi muda serta masyarakat umum.

Datuk Razali (kiri) dan Dato’ Zahari (kanan)

“Sebanyak 57 kertas kerja akan dibentang dalam persidangan ini yang melibatkan pelbagai disiplin seperti ekosistem hutan, flora, fauna ekopelancongan, rekreasi, ekologi geologi, arkeologi serta sosioekonomi.

“Pengajaran persidangan ini selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 2021 yang menekankan kepentingan pendidikan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber hutan secara lestari.

“Saya memang sarankan supaya didokumentasikan persidangan ini dan hasilnya diagihkan yang pertamanya kepada para pelajar, universiti dan orang awam. Yang pentingnya generasi penerus harus tahu bahawa spesies-spesies yang ada pada hari ini perlu dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan tahun 2025, di sini, kelmarin.

Tambahnya, persidangan itu mengetengahkan hasil pengumpulan maklumat kepelbagaian biologi Hutan Simpan kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia, khususnya daripada ekspedisi saintifik di beberapa negeri pada tahun 2024.

“Persidangan ini adalah sebagai platform kepada para pendidik dan saintis untuk membentangkan hasil penemuan kajian daripada empat ekspedisi saintifik yang telah dilaksanakan di Hutan Simpan Bukit Jernih, Perlis 20 hingga 30 Julai 2024.

“Selain itu, kajian juga dilaksanakan di Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing, Johor 17 hingga 21 September 2024; Gunung Nuang Hutan Simpan Ulu Langat, Selangor, 2 hingga 6 September 2024 dan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan, Kuala Berang, Terengganu, 7 hingga 11 September 2024,” jelasnya.

Datuk Razali turut berharap agar Terengganu terus diberi kepercayaan menjadi platform utama persidangan seumpama ini, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai hab ilmu biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar negara.

Dalam masa sama, Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Zahari Ibrahim, berkata sambutan luar biasa terhadap penyertaan persidangan adalah bukti bahawa kesedaran masyarakat terhadap isu biodiversiti semakin meningkat.

“Jumlah penyertaan yang besar menjadi penanda aras yang bagus untuk menunjukkan komitednya, ini menunjukkan bahawa masyarakat sekarang mula prihatin kepada kepentingan khazanah biodiversiti ini.

“Dan kita sedia maklum bahawa dunia mengikiraf bahawa perubahan iklim dunia ini disebabkan salah satunya oleh kemerosotan khazanah biodiversiti negara dan dunia.

“Jadi ekspedisi ini bukan sahaja penyertaan semua akademi dan juga inisiatif pengajian tinggi tapi dia melahirkan banyak pelapis-pelapis baru dalam menyokong usaha-usaha untuk menimba dan mencari khazanah-khazanah biodiversiti negara,” katanya.