Home Berita PAS Pulau Pinang

Persiap Muslimat Tempuh Cabaran Malaysia Baharu

1093
SHARE
TASEK  GELUGOR: Muslimat PAS di semua peringkat hendaklah bersiap sedia menyumbang segenap kekuatan yang ada bagi menghadapi cabaran kecelaruan pemerintahan Kerajaan Malaysia Baharu.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata pembinaan kekuatan tersebut mestilah dengan akidah dan ukhuwah dalam kalangan anggota Muslimat itu sendiri.
Perkara tersebut ditegaskan beliau ketika berucap pada perasmian beliau Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang Kali Ke-30 di Pusat Pengajian Darul Hadis, di sini semalam.
Jelas Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan itu, natijah kekuatan ukhuwah antara Muslimat akan dapat direalisasikan dengan merapatkan saf sesama orang lama dan tenaga muda.
“Jangan kita persiakan pengalaman orang lama yang tidak boleh dijual beli tetapi ia hendaklah diadun bersama dengan gandingan kebijaksanaan orang muda.
“Justeru Muslimat perlu mengatur program program yang mempertaut ukhuwah antara orang lama dan orang muda, antara pimpinan dengan jentera, serta antara Muslimat dengan masyarakat,” seru beliau.
Siti Zailah turut mengingatkan Muslimat untuk menghadapi realiti cabaran ketika ini dengan persiapan pemerkasaan jentera penerangan, kebajikan, daftar pemilih, Gen 3 dan lain-lain.
Menerangkan pentingnya pelaksanaan semua agenda parti dan inisiatif-inisiatif disebut itu dilaksanakan secara konsisten, beliau berkongsi pengalaman gerak kerja di Kelantan.
“Kami di Kelantan berjuang bermula seawal solat Subuh berjemaah dengan masyarakat seterusnya berterusan program jamaah hingga ke waktu malam. Kami sentiasa bersiap bersedia seolah-olah esok adalah pilihan raya.
“Tidak cukup satu minggu hanya satu dua program, tetapi kita hendaklah membuat perubahan dengan menjalankan beberapa program pada setiap hari,” tegas beliau memberi perangsang.
Tambah beliau, usaha yang giat adalah penting untuk menyedarkan rakyat daripada terus tertipu dengan pembohongan PH, seterusnya menyelamatkan mereka dengan tawaran politik Islam yang adil kepada semua.
Pemerkasaan kepimpinan semasa yang berwibawa dan pembinaan kepimpinan pelapis juga menurut beliau adalah antara agenda penting perlu diberi perhatian oleh Muslimat.
Menghuraikan isu semasa, beliau turut menyentuh akan kepentingan Muslimat berada di peringkat penggubal dasar iaitu untuk memperjuangkan isu-isu wanita menurut kaca mata Islam.
Beliau mempersoalkan tindakan Kerajaan PH memberi dana kepada Sisters In Islam walaupun ia telah difatwa sesat, sedangkan pada masa sama terdapat banyak lagi NGO wanita yang layak.
Beliau turut membidas kerajaan kerana memejamkan mata terhadap isu LGBT di mana belum ada tindakan menyekat perjuangan golongan ini yang telah terlibat dalam Himpunan Hari Wanita secara penuh kontroversi baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 8/4/2019