Home Berita PAS Sabah

PERSEPSI NEGATIF TERHADAP VAKSIN, TASAWWUR ISLAM MENJELASKAN

204
SHARE

 

Dunia semakin mencabar apabila terus diasak oleh wabak yang semakin laju dan bermutasi ini. Terkini jangkitan sudah mencecah 176 juta orang dan hampir 4 juta kematian dicatatkan. Perihal ini menunjukkan masih tidak ada tanda melegakan pandemik ini akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Dalam usaha mendepani gelombang virus Covid – 19 manusia berusaha gigih untuk menghasilkan vaksin demi mengekang penularan dan akhirnya usaha itu berjaya. Namun demikian tanggapan terhadap vaksin menjadi cabaran seterusnya khususnya negara umat Islam seperti Malaysia. Segelintir kecil mereka menganggap pengambilan vaksin tidak selari dengan syariat agama dengan pelbagai hujah.

Islam telah menggagaskan dasar pengamalan pencegahan lebih awal daripada itu. Umumnya kaedah ini pernah diajar oleh Rasulullah berdasarkan sabda Nabi SAW :

من تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ مِنْ تَمْرِ الْمَدِيْنَةِ لَمْ يَضُرَّهُ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ

“Barangsiapa yang di waktu pagi memakan tujuh butir kurma Madinah, maka tidak akan mencelakakannya sihir ataupun racun.”

(HR. al-Bukhari : 5768 dan Muslim : 4702)

Mudah difahami ianya seperti ‘vaksin’ pada zaman kenabian sesuai dengan keadaan ketika itu. Perkara yang Nabi sebutkan ini termasuk dalam kategori mencegah bahaya sebelum terjadinya sesuatu yang buruk dan ia juga tidak bertentangan dengan konsep tawakal pada sisi akidah kerana memenuhi syariat untuk melindungi diri dari bahaya penyakit yang memudaratkan.

Inilah pemahaman sebenar yang Islam anjur apabila berbahas berkenaan vaksin. Ertinya tidak wujud ajaran bahawa Islam menolak mentah-mentah sedangkan Islam menganjurkan pencegahan awal. Perlu kita koreksi, dalam aspek perubatan kegagalan penguasaan berterusan umat Islam terhadap bidang ini menyebabkan pelbagai persepsi yang menyimpang terhadap vaksin yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk imuniti. Imam Syafie menegaskan :

ضَيَّعُوا ثُلُثَ العِلْمِ وَوَكَلُوهُ إِلَى اليَهُوْدِ وَالنَّصَارَى.

“Umat Islam telah mensia-siakan sepertiga Ilmu (ilmu perubatan) dan menyerahkannya kepada kaum Yahudi dan Nasrani.” (1)

Imam Syafie juga menyatakan :

لا أعلم علما بعد الحلال والحرام أنبل من الطب إلا أن أهل الكتاب قد غلبونا عليه

“Saya tidak mengetahui sebuah ilmu selepas ilmu halal dan haram yang lebih berharga iaitu ilmu perubatan, akan tetapi ahli kitab telah mengalahkan kita”(2)

*Pengaplikasian Vaksin Dalam Sorotan Islam*

Kedudukan vaksin sebenarnya tidak asing dalam lipatan sejarah Islam. Tokoh perubatan muslim orang pertama yang menemui konsep dasar vaksin adalah Ar Razi atau Abu Bakar Muhammad Ibnu Zakariya, di dunia barat dia dikenali sebagai Rhazez. Beliau adalah ahli Fizik dan Kimia seluruh dunia tidak hanya jendela umat Islam.

Antara penegasannya selepas mengkaji disiplin ilmu ini iaitu manusia yang telah dijangkiti penyakit seperti _smallpox_ (variola) tidak akan terjangkit untuk kali kedua. Beliau banyak mentelaah isu penyakit berjangkit serta meneliti fakta penyakit wabak yang menyebabkan ramai manusia mati termasuklah sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga, Abu Ubaidah Ibnu Al – Jarrah yang meninggal dunia di Syam kerana wabak.

Rentetan itu, tokoh muslim ini berjaya menulis kitab perubatan (vaksin) berjudul ”al-Jadari wa al-Hasba” dengan terjemahan “Cacar Air dan Campak”.  Manuskrip asli buku ini masih disimpan rapi di perpustakaan Leiden University, Belanda. Perlu disedari banyak manuskrip ilmu dan penemuan umat Islam disimpan di muzium-muzim Eropah sebagai contoh buku ini yang diterjemahkan oleh para ilmuan Eropah dengan judul ;

“A Treatise on Smallpox and Measles” (3)

Sejarah ini memaparkan Ilmuan Islam telah menyumbang penemuan dalam isu vaksin, bahkan secara global tokoh perubatan Islam yang meletakkan dasar-dasar pengubatan yang menjadi acuan asas perubatan moden sekarang. Anggapan bahawa perubatan moden adalah monopoli oleh Barat sama sekali tidak benar apatah lagi mudah menuduh semua ini agenda Yahudi Freemason, agenda WHO yang merungkaikan akidah.

Umat Islamlah yang membina sekolah perubatan pertama di Andalusia (Sepanyol) dengan penemuan-penemuan teknologi terbaru ketika itu  seperti alat bedah, metode operasi caesar, peredaran darah, benang jahit dan lain-lain kaedah. Perkembangan hebat ini menyebabkan berbondong-bondong anak – anak bangsa Eropah ke Andalusia mempelajari ilmu perubatan walaupun mereka terpaksa belajar bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Terbukti hari ini penciptaan vaksin terawal Covid-19, Phizer-Biontech juga dalam kalangan umat Islam. Dr. Ugur Sahin dan Dr. Ozlem Tureci. Mereka saintis pasangan suami isteri berketurunan Turki membina empayer perubatan di Jerman. Menariknya vaksin ini satu-satunya yang mempunyai kadar efikasi tertinggi dari semua jenis vaksin yang terhasil.

Tidaklah pelik kerana sejak awal lagi Islam adalah pelopor, dunia Barat hanya belajar dari umat Islam. Andaikata ia bertentangan dengan sarana agama, sudah pasti ulamak zaman silam dan sekarang bangun mengkritik tokoh-tokoh perubatan dengan penghasilan buku atau fatwa-fatwa tertentu. Sepatutnya umat Islam perlu berbangga bukannya terus sangsi dikala dunia Barat menggunakan formula mereka untuk menghasilkan jutaan bahkan bilion vaksin di bawa Kesatuan Eropah (EU), NATO dan Negara-Negara G7 terdiri dari negara maju.

Kesimpulan

Islam agama yang selamat dan menyelamatkan. Agenda Islam diturunkan juga antaranya menjaga nyawa selain agama, akal, harta dan keturunan. Maka saya menyeru kepada semua umat Islam untuk bertindak mengambil vaksin. Kita tidak hanya menyahut seruan kerajaan, kita sebenarnya menyahut saranan agama kita.

[1] Siyar A’lam An-Nubala  Adz-Dzahabi 8/258, Darul Hadis Kaherah.

[2] Siyar A’lam An-Nubala 8/528,  Darul Hadis, Kaherah.

[3] Sumber: https://www.amazon.co.uk/Treatise-Small-pox-Measles-Rhazes/dp/1293784087

Penulis :
Abu Maryam Safiyah
15 Jun 2021
Kunak, Sabah