Home Minda Presiden

Perpaduan umat: Adil kepada semua dan tiada paksaan dalam beragama

86
SHARE

Minda Presiden PAS [Bil: 61 / 2022]

PERPADUAN UMAT: ADIL KEPADA SEMUA DAN TIADA PAKSAAN DALAM BERAGAMA

Kewujudan berbagai-bagai bangsa, bahasa, budaya, berbeza agama dan lain-lain adalah ciptaan Allah iaitu Tuhan semesta alam, yang mengandungi banyak hikmah. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’), serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ٢٢﴾

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya (Allah) ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

Al-Quran ialah Kitab Allah, kalam, ilmu, kebijaksanaan dan hukum-Nya yang Maha Adil. Tiada sesiapa yang dapat meminda ketetapan Allah mahupun mencabarnya, sekalipun oleh seorang yang bergelar ahli falsafah yang dibanggakan oleh para ilmuwan Barat. Hal ini termasuklah di Malaysia terdapat golongan yang mahu mengubah kewujudan bangsa di Malaysia mengikut selera fikirannya yang telah diperkenalkan oleh DAP dengan menjadikan slogan ‘Malaysian Malaysia’.

Hanya Allah yang Maha Berkuasa sahaja dapat menetapkan ajal sesuatu bangsa, apabila tiba masanya supaya bangsa itu dihukum oleh-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ٣٤ يَا بَنِي آدَمَ إِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي فَمَنِ اتَّقَى وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ٣٥ وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ٣٦﴾

“Tiap-tiap umat mempunyai ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya). (34); Wahai anak-anak Adam (manusia)! Jika datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalanganmu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (35); Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (36)” (Surah al-A‘raf: 34-36)

Perpaduan umat manusia yang menjadi tujuan mulia itu tidak berasaskan kepada satu bangsa sahaja, atau semata-mata faktor ekonomi atau faktor politik sahaja. Islam menetapkan perpaduan Islam dengan pembentukan insan mengikut fitrahnya.

Ia bermula dalam kalangan penganutnya berkonsepkan aqidah supaya memimpin manusia masyarakat majmuk kepada perpaduan umat kemanusiaan tanpa paksaan dalam beragama Islam dan berkonsepkan adil kepada semua berasaskan kepimpinan berintegriti yang beriman. Kepimpinan tanpa iman tiada keberkatannya dan amalannya ditolak oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

 ﴿وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ٦٥﴾

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah segala amalmu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang merugi.” (Surah al-Zumar: 65)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾

“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka banyak keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A‘raf: 96)

Perkataan berkat yang disebutkan dalam ayat di atas bermaksud kebaikan di dunia dan di akhirat yang tidak terdapat dalam kamus ideologi ciptaan manusia.

Tidak salah andai seseorang itu sayang akan dirinya, keluarganya, bangsanya, bahasanya,  hartanya, tanah airnya dan lain-lain yang ada kaitan dengan kehidupan duniawinya. Sebaliknya, salah dan sesat itu berlaku apabila ada pihak yang fanatik sehingga menyebabkan dirinya melampau dan zalim terhadap pihak yang berlainan.

Islam menetapkan kewajipan untuk mempertahankan agama, diri, keluarga dan harta terhadap pencerobohan, dengan syarat tidak melampaui batas. Hal ini disebabkan perbuatan melampaui batas itu sangat zalim. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Islam menegaskan bahawa manusia seluruhnya merupakan satu keluarga yang berasal daripada bapa dan ibu yang sama. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً  وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasimu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Demikian itulah tasawwur bagi sebuah keluarga besar, walau berbilang bangsa, berbeza agama dan berlainan budaya, masing-masing berhubung dengan sempadan toleransi. Hal ini penting supaya tidak melampaui batas halal dan haram sehingga berlaku zalim, pada masa yang sama, tolong-menolong dalam perkara kebajikan bersama, serta bertoleransi dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian.

Justeru, Islam mewajibkan kepada semua agar bermasyarakat madani dalam segala aspek, sebagaimana yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’), serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Kewujudan bangsa adalah suatu fitrah (naluri) ciptaan Allah SWT dalam kalangan manusia, namun masing-masing wajib saling memerlukan antara satu sama lain dalam semua keperluan hidup yang tidak mungkin dihasilkan secara persendirian. Hal ini demikian kerana, Allah SWT membezakan antara satu sama lain dari segi kemampuan, pendapatan dan hasil di tempat masing-masing yang wajib digabungkan serta ditadbir urus dengan baik dengan mewajibkan kehidupan bermasyarakat, walaupun secara majmuk.

Dalam aspek keagamaan yang menjadi kepercayaan hati manusia pula, ditegaskan konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun diwajibkan umat Islam agar berdakwah. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ٩٩﴾

“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang berada di muka bumi seluruhnya. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Surah Yunus: 99)

Adapun dalam aspek ekonomi pula, Allah SWT menetapkan konsep keadilan secara umum dengan sempadan halal dan haram serta akhlak dalam kegiatannya yang berjalinan. Firman Allah SWT:

﴿أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ٣٢﴾

Apakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian daripada mereka dapat mempergunakan (memanfaatkan) sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

Maka, Islam menegaskan asas perdamaian dan keadilan adalah menjadi keutamaan dalam aspek hubungan antarabangsa. Allah SWT menjinakkan hati manusia dengan hidayah-Nya secara perdamaian dan keadilan yang menyeluruh. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٦١ وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٦٣﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah Tuhan yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (dukungan) orang-orang Mukmin. (62); Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah al-Anfal: 61-63)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruhmu menunaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruhmu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (-Nya), dan ulil amri (pemimpin dan ulama’) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Allah SWT menegaskan dalam ayat di atas bahawa keadilan kepada seluruh manusia itu dilaksanakan oleh kepimpinan yang beriman, berakhlak dan berilmu. Kepimpinan yang mempunyai integriti yang sempurna, bukan hanya slogan kosong yang tidak memenuhi ciri-ciri fitrah penciptaan manusia.

Kita menyaksikan berlakunya perkelahian dalam satu keluarga dan perang saudara dalam satu bangsa, negara dan agama, sekali gus menunjukkan bahawa teori perpaduan berasaskan satu bangsa dan mengurangkan jurang ekonomi adalah palsu dan impian yang salah. Manusia bukan sahaja memerlukan isi perut, mereka juga memerlukan isi roh dan akal.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Rabi‘ al-Akhir 1444 / 14 November 2022