Home Minda Presiden

Perpaduan teguh hidayah Allah

189
SHARE

Minda Presiden PAS
PERPADUAN TEGUH HIDAYAH ALLAH
[Bil: 50 / 2024]


Muncul daripada kalangan manusia pencipta ajaran sendiri, lalu dianggapnya sebagai petunjuk atau pendekatan bagi mewujudkan perpaduan yang mewujudkan keamanan dan kesejahteraan yang dituntut oleh semua.

Ada ajaran itu berjenama agama yang diselewengkan daripada agama Allah atau agama ciptaan manusia sendiri. Ada pula yang dinamakan teori, falsafah, ideologi, dan seterusnya.

Sejak dahulu, semuanya tidak mampu menghapuskan perpecahan sesama manusia. Semuanya gagal menghalang perpecahan dan pertelingkahan, sehingga mencetuskan peperangan saudara dan peperangan antara agama, kaum, dan negara dengan ganas sejak zaman purba, termasuk dua perang dunia pada zaman moden, di samping diramalkan Perang Dunia Ketiga dan berikutnya yang menghancurkan dunia.

Ada kalangan yang berusaha mewujudkan perpaduan melalui pendekatan bangsa dan zuriat keturunan, pendekatan wilayah, serta pendekatan ekonomi dan politik. Sama ada cara ekstrem yang memaksa mahupun cara liberal yang bebas; semuanya gagal.

Allah telah menetapkan adanya perbezaan dalam kejadian manusia kerana hikmah ciptaannya. Firman Allah SWT:

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ ١١٨ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمۡۗ وَتَمَّتۡ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ١١٩

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. (118) Kecuali orang-orang yang diberikan rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya, Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya. (119)” [Surah Hud: 118–119]

Allah telah menetapkan petunjuk-Nya bagi menyatukan manusia dan menangani perbezaan yang berlaku. Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Allah Pencipta alam yang diakui oleh semua manusia mengikut fitrahnya telah menetapkan petunjuk-Nya bagi menyatukan manusia. Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Dalam kejadian manusia, wujud persamaan serta adanya perbezaan dan kelainan kerana hikmah ciptaan Allah Yang Maha Adil dan Bijaksana. Maka, ada aspek yang wajib disatukan dan ada aspek perbezaan yang diizinkan. Ada aspek yang wajib bersatu dan ada aspek yang diharamkan bersatu, di samping ada perkara yang dibolehkan berbeza. Firman Allah SWT:

… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Firman Allah SWT:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢

“Adakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik daripada apa-apa yang mereka kumpulkan.” [Surah al-Zukhruf: 32]

Perbezaan kemampuan menimbulkan kerjasama dalam pembahagian tugas mengikut kemampuan masing-masing dan berlakunya pengetahuan yang berbeza. Namun, ada juga yang melampau kepentingan diri dan kaumnya.

Firman Allah SWT:

… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١

“…Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Akan tetapi, Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” [Surah al-Baqarah: 251]

Hendaklah menentang mereka yang melampaui batas kerana menceroboh, sehingga dihalang mereka secara paksa dengan ditundukkan tanpa melampau, walaupun dalam situasi berperang.

Maksudnya, perpaduan hanyalah dengan mengikuti petunjuk agama Allah yang dipimpin oleh para nabi atau rasul yang dilantik bersama wahyu.

Allah SWT memberikan peringatan kepada mereka yang berpecah kerana meninggalkan petunjuk-Nya:

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.” [Surah Ali ‘Imran: 105]

Allah menetapkan perpaduan secara fitrah yang asalnya merupakan suatu hubungan berkeluarga besar. Walaupun meluas ke seluruh pelosok bumi, manusia tetap berasal daripada Adam dan Hawwa’, sehingga berkeluarga menjadi sifat bermasyarakat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya, Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-dua mereka, Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak! Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya, kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Perpaduan mengikut hubungan fitrah kemanusiaan yang berkeluarga, bersilaturahim, dan bermasyarakat yang wajib bertamadun dan saling memerlukan sesama manusia.

Rasulullah SAW telah berjaya menggabungkan segala aspek yang terkandung dalam ayat-ayat Allah tersebut. Kejayaan bermula dengan penyatuan masyarakat Arab jahiliah yang paling bebal, ganas, dan berpecah sehingga berperang. Firman Allah SWT:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]

Hanya Allah Yang Maha Berkuasa menjinakkan hati-hati manusia yang berpecah melalui sifat fitrah yang bermasyarakat berdasarkan petunjuk Allah. Firman Allah SWT:

… لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣

“…Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Anfal: 63]

Manusia itu tidak boleh disatukan dengan aspek kebendaan sahaja tanpa merangkumi semua aspek fitrahnya. Mereka memiliki roh, akal, bersendirian, berkeluarga, dan bermasyarakat.

Rasulullah SAW yang dilantik menjadi rasul akhir zaman telah berjaya melaksanakannya mengikut petunjuk Allah, bermula dengan penyatuan umat Islam yang berkuasa memerintah negara. Semua penganut Islam daripada pelbagai kaum bangsa berdiri di atas prinsip iman yang mengawal hati mereka, sehingga mereka dapat mengawal diri dan mewujudkan perpaduan laksana satu jasad. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu, dan takutilah Allah supaya kamu mendapat rahmat.” [Surah al-Hujurat: 10]

Islam yang berkuasa menunaikan amanah dengan menegakkan keadilan hukum Allah yang wajib kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk, seterusnya memenuhi segala keperluan kejadiannya mengikut fitrah tersebut. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Pelaksanaan Islam yang adil kepada semua dibuktikan contoh teladannya oleh Rasulullah SAW di negara Madinah yang bersifat madani mengikut petunjuk Allah, bukan madani ciptaan manusia yang membawa akibat kehancuran dan kemusnahan semua tamadun kuasa besar pada zaman purba serta kejatuhan kuasa besar yang kaya-raya pada zaman moden terkini, malah ada yang sedang menunggu giliran kejatuhannya.

Seterusnya, Islam telah berjaya menegakkan negara masyarakat majmuk berbagai-bagai bangsa dan agama yang paling besar, merangkumi sebahagian benua Asia sehingga Asia Tenggara melalui Asia Tengah, Afrika Utara dan Afrika Tengah, serta Eropah Selatan. Di samping itu, Islam berjaya mencipta tamadun Islam (hadarah Islamiah) yang paling berjaya selama beberapa abad melalui ilmu wahyu dan ilmu akal yang menepati fitrah manusia daripada pelbagai bangsa dan agama, walaupun berjauhan kedudukan masing-masing.

Islam mewujudkan perpaduan berkesan sehingga berjaya mengumpulkan ilmu dan kelebihan berbagai-bagai bangsa dengan hidayah Allah, lantas mencipta tamadun dunia. Sehingga kini, masih ada kesannya walaupun selepas kejatuhan kerajaannya. Namun, tamadun itu menempah kemusnahan apabila terpesong daripada Islam.

Barat yang mencipta tamadunnya tanpa hidayah Islam membawa kemusnahan yang sedang disaksikan, melalui kerosakan kehidupan diri manusia, keluarga, masyarakat, dan alam sekitarnya.

Malangnya, Islam dijatuhkan oleh manusia sendiri dengan tangan-tangan mereka yang dengki terhadap kejayaan penganutnya. Mereka mencipta ideologi sendiri dengan meninggalkan petunjuk Allah. Firman Allah SWT:

… إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ … ١١

“…Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” [Surah al-Ra‘d: 11]

Firman Allah SWT:

وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّهۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيۡهَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَٰهَا تَدۡمِيرٗا ١٦

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan di dalam negeri itu. Maka, sudah sepatutnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” [Surah al-Isra’: 16]

Kejatuhan negara Islam kerana meninggalkan ajarannya, bukan kerana kelemahan ajarannya. Maka, mereka yang menyalahkan Islam dan kumpulannya menjadi sebab berlaku perpecahan adalah fitnah besar terhadap Allah dan agama-Nya.

Sepatutnya, masyarakat manusia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Islam, tetapi sifat kedengkian yang dibawa Iblis dan syaitan yang menolak sejak Allah mencipta Adam AS, berjaya merasuki sebahagian manusia sehingga merosakkan kehidupan mereka.

Sama sahaja akibat yang menimpa negara besar terdahulu yang menentang para rasul pada zaman purba dan negara yang menolak Islam pada zaman kini. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤

“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain. (8) Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12) Oleh kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]

Sebenarnya, Allah menjadikan kerajaan yang bangun dan rebah silih berganti bagi menguji manusia dalam kehidupan dunia. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Firman Allah SWT:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٦

“Katakanlah, ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Dalam Tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’” [Surah Ali ‘Imran: 26]

Masalahnya, ada kalangan manusia yang menolak petunjuk Allah dan mencipta sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah. Maka, berlakulah kekurangan yang tidak memenuhi fitrah kejadiannya sendiri. Walaupun penuh keperluan nafsu jasadnya dengan harta dan takhta, tetap kurang panduan akalnya dan miskin rohnya, ataupun melampau pengisiannya daripada keperluan fitrahnya. Allah SWT telah memberikan amaran:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Penyelewengan dilakukan oleh kalangan para pemimpin negara, raja, ilmuwan, dan agamawan yang salah menentang para rasul dan kitab Allah sepanjang zaman.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ ١٢

“Dan bila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi.’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya, kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.’ (11) Ingatlah, sesungguhnya, mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar. (12)” [Surah al-Baqarah: 11–12]

Akibatnya, dapat disaksikan dalam kehidupan dunia kini dan tunggulah balasannya pada Hari Akhirat.

Firman Allah SWT menceritakan penyesalan pada Hari Kiamat oleh mereka yang menolak ajaran Allah yang dibawa oleh para rasul:

يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠ ٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠ ٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا ٦٨

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan di dalam Neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ (66) Dan mereka berkata, ‘Ya Tuhan kami, sesungguhnya, kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). (67) Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar.’ (68)” [Surah al-Ahzab: 66–68]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 18 Jumada al-Ula 1446 / 20 November 2024