Home Berita PAS Terengganu

Pernah Harumkan Nama Negara, Asmawi Kini Perlukan Bantuan Rakyat

6
SHARE

KEMAMAN – Tabung Bantuan Rawatan bagi bekas pemain hoki remaja kebangsaan dan Sukma Terengganu, Mohamad Asmawi Zaidi, telah dilancarkan semalam bagi membantu membiayai kos rawatan dan perubatannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, tabung itu diwujudkan hasil perbincangan antara keluarga Asmawi bersama Persatuan Hoki Terengganu selepas beliau disahkan menghidap masalah kesihatan yang memerlukan kos rawatan tinggi.

“Keadaan kesihatan Asmawi kini memerlukan perhatian segera. Usaha ini adalah tanda kebersamaan kita untuk membantu meringankan beban beliau dan keluarga,

“Asmawi pernah mengharumkan nama negeri dan negara suatu ketika dahulu melalui sukan hoki, khususnya ketika mewakili Terengganu di pentas Sukma dan pasukan remaja kebangsaan.

“Sumbangan dan kejayaan beliau dalam arena sukan wajar dikenang dengan membantu meringankan beban rawatan yang ditanggungnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Rawatan Asmawi bertempat di Pejabat DUN Kijal, Paya Lasir Bandar Baru Kijal semalam.

Majlis tersebut dihadiri kakaknya, Nur Haslida Zaidi serta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Cikgu Mohd Fikri Harun.

Menurut Nur Haslida, kos rawatan adiknya mencecah kira-kira RM1,300 sebulan termasuk keperluan ubatan dan barangan penjagaan harian.

Katanya, sokongan orang ramai amat diharapkan bagi memastikan kelangsungan rawatan dapat diteruskan.

“Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN | 1111141000273158 (Mohamad Asmawi Bin Zaidi) atau menghubungi 019-920 6959 (Nur Haslida Zaidi, kakak Asmawi) bagi sebarang pertanyaan.

“Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban keluarga serta menjadi asbab kepada kesembuhan Asmawi, yang pernah mengharumkan nama Terengganu dan negara dalam arena hoki suatu ketika dahulu,” ujarnya.