Home Berita PAS Wilayah

PERMUKIMAN LAJNAH DAKWAH & PERPADUAN NASIONAL WP PERKUKUH STRATEGI GERAK KERJA DAKWAH

31
SHARE

Oleh :- Muhammad Abdul Fateh

Kuala Lumpur, 1 November 2025 – Lajnah Dakwah dan Perpaduan Nasional PAS Wilayah Persekutuan telah mengadakan Permukiman Lajnah Dakwah & Perpaduan Nasional bertempat di Dewan Taming Sari, Hotel Democris, bagi memperkukuh penyelarasan dan hala tuju dakwah di seluruh kawasan dan dewan di bawah PAS Wilayah Persekutuan.

Program ini menghimpunkan seramai 12 orang wakil dari setiap kawasan dan dewan negeri, dengan matlamat memperkasakan peranan lajnah dalam mendekati masyarakat Islam dan bukan Islam melalui pendekatan berstrategi dan berhemah.

Pengerusi Lajnah Dakwah dan Perpaduan Nasional Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, dalam ucapannya menyeru agar gerak kerja dakwah diperkukuh dengan pendekatan berasaskan kasih sayang dan kebijaksanaan.

“Dakwah bukan sekadar ceramah atau khutbah, tetapi hadir bersama masyarakat menyantuni, mendengar, dan memberi harapan. Itulah wajah sebenar dakwah Islamiah yang mesti kita tampilkan,” tegas beliau.

Beliau turut menggesa setiap lajnah kawasan membina jaringan kerjasama dengan NGO Islam, institusi dakwah, dan masyarakat setempat bagi memastikan mesej Islam sampai secara meluas serta mampu menyatukan komuniti pelbagai kaum dan agama di Wilayah Persekutuan.

Permukiman ini juga menjadi medan perbincangan dan pertukaran pandangan antara wakil-wakil lajnah, dengan pelbagai cadangan dikemukakan bagi memperkasa program lapangan serta memperkukuh perpaduan nasional berteraskan nilai Islam.

Program berakhir dengan komitmen bersama untuk menggerakkan usaha dakwah dan perpaduan masyarakat secara lebih tersusun, inklusif dan berkesan di bawah kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan.