Home Berita PAS Pahang

Permohonan baik pulih jambatan diluluskan, penduduk harap disegerakan

22
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 9 Nov : Penduduk Kampung Alor Ladang dan Taman Beserah menaruh harapan agar kerja-kerja pembaikan jambatan yang telah diluluskan dapat disegerakan berikutan struktur jambatan berkenaan yang telah lama rosak.

Jambatan tersebut menjadi laluan utama penduduk ke tempat kerja dan sekolah, namun penutupan kepada kenderaan berat sejak beberapa bulan lalu memaksa mereka menggunakan jalan besar yang sibuk dan jauh, sekali gus menambah risiko keselamatan serta memanjangkan masa perjalanan harian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu, turun padang meninjau keadaan jambatan berkenaan sambil memaklumkan kepada masyarakat setempat mengenai status permohonan baik pulih di sini hari ini.

Menurut  Andansura Rabu, permohonan pembaikan jambatan tersebut telah diluluskan dan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR), namun pelaksanaannya masih menunggu peruntukan bajet yang dijangka disalurkan seawal Mac 2026.

“Saya berharap kerja-kerja pembaikan ini tidak ditangguhkan lagi dan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan serta kemudahan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Beserah, Abdul Jalil Hamzah berkata, penduduk amat mengharapkan agar kerja-kerja pembaikan dapat dipercepatkan kerana jambatan tersebut menjadi nadi utama pergerakan harian mereka.

“Jambatan ini amat penting bagi penduduk di sini. Setiap hari ramai yang menggunakan laluan ini untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah. Kami bimbang kalau dibiarkan terlalu lama, keadaan jambatan akan semakin berisiko,” katanya.