Home Berita PAS Terengganu

Permit khas candat sotong diperkenal

61
SHARE

KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Kerajaan Negeri dalam proses mengeluarkan permit khas bagi membolehkan lebih ramai pengusaha bot nelayan terlibat dalam Program Candat Sotong Terengganu, yang semakin mendapat sambutan daripada pelancong setiap kali musimnya tiba.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, isu berkaitan pengusaha bot nelayan yang tidak memiliki lesen ‘Sport Fishing’ telah diberi perhatian sejak tahun lalu.

“Bagi pelaksanaan Program Candat Sotong ini, kita memperkenalkan permit khas yang terhad kepada jarak tiga hingga empat kilometer dari daratan sahaja. Permit ini hanya sah sepanjang musim mencandat iaitu dari bulan April hingga Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.

Beliau menjelaskan, pihak kerajaan sedang berusaha untuk memastikan permit tersebut dapat dikeluarkan dengan segera bagi memudahkan penyertaan pengusaha bot di seluruh negeri.

“Lebih daripada 4,000 bot nelayan di Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut terlibat dalam program ini, kecuali bot laut dalam. Program ini penting kerana memberi peluang kepada nelayan menjana pendapatan sampingan dengan membawa pelancong merasai sendiri pengalaman mencandat sotong,” tambahnya.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata, pada asalnya permit khas tersebut sepatutnya telah dikeluarkan, namun pelaksanaannya masih memerlukan sedikit masa kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan program berjalan dengan lancar.

“Akan diadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan bot, yang masih dalam perbincangan antara Jabatan Laut, Jabatan Perikanan serta para pengusaha,” katanya.

Tambahnya lagi, sebelum ini pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama lebih 3,000 pengusaha bot yang memohon untuk mendapatkan kebenaran menyertai program ini memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya memiliki lesen bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan secara memukat.

“Mereka yang telah memiliki lesen ‘sport fishing’ tidak perlu memohon permit khas kerana ia sudah termasuk dalam kebenaran mencandat sotong. Cuma bot-bot pesisir ini sahaja yang memerlukan permit khas.

“Kita wujudkan permit khas yang berbeza daripada lesen sedia ada, dan permit ini hanya terpakai untuk tempoh April hingga Oktober sahaja,” katanya.