Home Berita PAS Perak

‘Permata Hati Manjung’ Kematian kembar kurang upaya

827
SHARE

Oleh : Roslina Nor

LUMUT, Kematian salah seorang kembar, Muhammad Aiman Mohd Fadli,17 tahun, murid Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Samudera menjadi perhatian di sekitar Seri Manjung.

Kemalangan maut yang melibatkan Almarhum Aiman dengan sebuah kereta di simpang empat LHDN Manjung, malam kelmarin meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang mengenalinya.

Setiausaha PAS Kawasan Lumut, Hamidun Ahmad ketika ditemui juga memaklumkan beliau seringkali bertemu kembar seiras di Masjid Daerah Manjung setiap kali solat fardu berjemaah.

“Meski kurang upaya, mereka tetap berusaha untuk menghadiri solat jemaah lima waktu di masjid. Lebih mengejutkan saya, mereka ke masjid hanya dengan berbasikal.

“Mereka berdua juga digelar ‘penyeri’ di masjid kerana selalunya mengaminkan bacaan Al-Fatihah Imam dengan nada yang kuat dan sudah pasti merasai kehilangan ‘Permata Hati Manjung’ ini,” jelas Hamidun lagi.

Tambah Hamidun lagi yang berkesempatan hadir mendirikan solat jenazah di Surau Fasa 2J selepas Zohor menjelaskan berita pemergian kembar kurang upaya turut mendapat liputan meluas di media sosial.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut, Rohawati Abidin turut menzahirkan rasa sedih kerana pernah membantu banyak program ziarah PAS dan masyarakat setempat menggelarkan mereka ‘Yang Berhormat’.

“Almarhum seorang yang ringan tulang di kenduri mahupun gotong royong di surau dan masjid malah turut kelihatan membantu tukang membuat rumah jiran.

“Walaupun tutur katanya kadangkala tidak difahami akibat kecacatan yang dialami sejak lahir tetapi Almarhum amat disenangi orang ramai,” jelas Rohawati.

Dalam pada itu, istimewanya anak kembar ini juga sering menjadi sebutan masyarakat setempat kerana kemesraan apabila bertemu dengan sesiapa sahaja walaupun mereka yang tidak dikenalinya.