“Bingkisan Rida Di Bahu” | Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
Artikel | PH mengambil kesempatan di kala air keruh keresahan rakyat menghadapi pandemik. Ia bukan kegagalan kerajaan, ia adalah situasi ketidaktentuan yang dialami seluruh dunia.
Kalau negara kita jenis negara tertutup, ekonomi tertutup, tidak menerima pelancong luar, tidak berhubung dunia luar, tidak terbuka kepada ekonomi luar, bersendirian di tengah lautan tanpa berjiran negara lain di kiri dan kanan, mungkin kita tidak mengalami kes COVID seperti sekarang.
PH ingin menutup kegagalan 22 bulan dan perasaan malu mereka yang besar bukan hanya pada pentadbiran negara, berseteru dengan kakitangan kerajaan, pasukan beruniform seperti tentera, menarik bantuan orang kampung dan luar bandar, gagal melaksanakan manifesto sendiri dan siap menghina pula rakyat yang menuntut janji dan kemuncaknya PH gagal pertahan kerajaan sendiri dan berpecah.
Sikap PH memang sikap yang tidak mengenal erti insaf. Rakyat pun sudah mengenal mereka. PH sudah tidak mampu membina keyakinan rakyat kepada mereka. Apa yang boleh dibuat ialah burukkan semua perkara kepada pihak lain dan kerajaan PN sedia ada.
Isu sebesar seekor nyamuk diperbesarkan seperti dinosaur. Mengadu-dombakan pemikiran rakyat dengan pemberitaan yang tempang, kemudian rakyat yang termakan dijadikan alamat bahawa inilah gelombang rakyat.
Tapi Alhamdulillah, gelombang mainan PH tetap akan surut dan kembali tenang.
Ini yang merisaukan PH. Mereka tidak lagi tahu cara bagaimana untuk memburukkan Kerajaan PN lagi. Entah apa lagi isu nak ditudingkan jari kepada PN. Bingung mereka.
Malah, sikap mereka ini seolah-olah mereka memang berharap supaya keadaan semasa COVID lebih teruk dan ini peluang untuk memburukkan lagi kerajaan. PH bukannya bertungkus lumus bekerjasama meredakan suasana dan meluruskan keadaan. Mereka pula menambahkan keresahan dan kekeliruan.
Insya-Allah Allah bersama orang yang sabar. Mereka lupa kuasa Allah disebalik perancangan mereka.
Rakyat dan ahli PAS harus bijak menilai sesuatu isu dan pandai berperanan untuk menyaring isu yang manakah memadai hanya bermain di papan keyboard dan jangan bermain serta melekat di minda sehingga bercelaru.
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor