Oleh : Salmi Din
2 Julai 2025
KINABATANGAN: Semua ahli diseru agar memperkukuhkan kerjasama politik dan mempertingkatkan kesiapsiagaan menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang semakin hampir.
Menurut perwakilan Dewan Muslimat PAS Kinabatangan, Noor Ashikin Suhud, kerjasama politik yang dijalin bukan semata-mata atas dasar kuasa, tetapi sebagai wasilah menyampaikan mesej, Islam adalah peyelesaian kepada masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“PRN ini adalah medan dakwah dan perjuangan untuk membawa negeri Sabah menjadi lebih maju dan sejahtera dalam aspek politik,ekonomi dan sosial.
“Muslimat PAS perlu membawa mesej Islam sebagai penyelesaian utama kepada kerisauan masyarakat yang semakin memuncak seperti rasuah dan isu jalan raya yang teruk,” ujarnya dalam ucapan penangguhan semasa Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Sabah kali ke-35 di sini, Sabtu lepas.
Tambahnya, agenda perpaduan ummah dan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) mesti terus diperkukuh, berpandukan prinsip-prinsip syariah.
Sementara itu, menurut perwakilan Dewan Muslimat PAS Kalabakan, Masseriani Muhd Kahar pula menekankan keperluan memperkukuh jemaah berteraskan konsep AKIFI, iaitu melahirkan muslimat yang berilmu, haraki dan sufi.
Menurutnya, kekuatan organisasi muslimat terletak pada keseimbangan antara fizikal, ilmu dan tarbiah ruhiyyah.
“Kita perlukan muslimat yang bukan sekadar aktif di medan pilihan raya, tetapi juga kukuh ilmu dan ruh perjuangannya.
“Inilah tunjang kepada perjuangan Islam yang bersepadu dan diberkati,” tegasnya.