Home Berita PAS Perak

Perkemaskan tadarus Al Quran dengan tadabbur surah pilihan

43
SHARE

Oleh : NurAsilah Noor

Teluk Intan,29 Mac : Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat, meraikan cuti sempena Nuzul Al Quran pada 17 Ramadan dengan menganjurkan Majlis Khatam al Quran Perdana bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan, (KOMPASTI) di sini baru-baru ini.

Program rutin setiap kali menjelang Ramadan ini dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat, Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) serta guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) berhampiran.

Surah At Taubah dipilih untuk semakan bacaan Muslimat dalam kumpulan sebelum sesi tadabur bersama ustaz jemputan.

“Nama-nama seperti Firaun, Qarun dan Namrud memang diketahui sebagai penentang kepada dakwah para nabi yang diutus Allah. (Namun) mereka tidak pernah berjaya mengatasi Allah Maha Pencipta,” kata Ketua Tarbiyah Bagan Datuk, Hasnizam Hasan ketika sesi tadabur ayat surah At Taubah.

Katanya lagi, sifat sombong dan tidak mahu menerima kebenaran perlu disingkirkan secara ‘takhalli’ agar hati menjadi bersih dan suci dari segala sifat mazmuzah.

Menurutnya, surah At Taubah memperlihatkan peperangan yang berhadapan pelbagai kesukaran dan sewajarnya Muslimat perlu mendalami surah ini untuk meneruskan keseimbangan ilmu dan perjuangan.

Turut hadir, Ketua Muslimat, Robi’aton Mohd Abas, Timbalan Muslimat, Hamisah Abas, Naib Ketua Muslimat merangkap Ketua Tarbiyah Muslimat, Aseha Hanapi serta ahli jawatankuasa yang lain.